Berita Semasa

Zulkifli Jalil dilantik Pengarang Kumpulan BH

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Editor Kosmo! dan Kosmo! Ahad, Zulkifli Jalil dilantik sebagai Pengarang Kumpulan (GE) Berita Harian (BH), berkuat kuasa Isnin lalu.

Berpengalaman lebih 30 tahun dalam industri media, Zulkifli, 54, akan memainkan peranan penting membabitkan kepimpinan dalam pengurusan harian BH.

Kumpulan Komunikasi Korporat Media Prima Bhd (Media Prima) dalam satu kenyataan hari ini berkata, Zulkifli akan melapor kepada Pengarang Urusan Kumpulan (GME), Bahagian Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima, Jasbant Singh.

Zulkifli merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dan Kemanusiaan (Kepujian) dengan pengkhususan dalam Komunikasi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1994, berjaya membina reputasi dalam menjuarai laporan berita, kepimpinan editorial, dan pengurusan projek sepanjang bertugas.

“Selain itu, beliau turut menerima beberapa pengiktirafan termasuk Anugerah Institut Akhbar Malaysia (MPI), Anugerah Media oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), serta lebih 10 anugerah kewartawanan lain.

“Kami mengalu-alukan Zulkifli dalam peranan baharunya dan memberikan sokongan penuh kepadanya dalam kepimpinannya bagi memastikan kejayaan Bahagian Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima sebagai peneraju penyampaian berita,” kata kenyataan itu.

Zulkifli memulakan kerjaya dalam bidang kewartawanan di Kumpulan Media Karangkraf pada tahun 1994 sebelum menyertai Utusan Malaysia pada tahun 1996.

Di Utusan Malaysia, beliau memegang beberapa jawatan penting termasuk Ketua Biro Pulau Pinang (2003), Ketua Biro Putrajaya (2008) dan Editor Tugasan (2011), sebelum dinaikkan pangkat sebagai Editor Eksekutif pada tahun lalu.

Pada Ogos lalu, beliau dilantik sebagai Timbalan Editor Kosmo! dan Kosmo! Ahad, di mana beliau menerajui hala tuju editorial, strategi kandungan, serta operasi bilik berita untuk memastikan standard kewartawanan yang tinggi merentasi pelbagai platform.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button