
Tempoh pusingan kerja 6 bulan bagi petugas kaunter kerajaan dianggap sesuai – KPPA
PUTRAJAYA – Tempoh pusingan kerja selama enam bulan bagi semua petugas kaunter kerajaan boleh dianggap jangka masa sesuai bagi mereka melengkapi tugasan berkenaan.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, ini membolehkan petugas terbabit berupaya memberikan khidmat terbaik, seiring perubahan bidang tugas masing-masing.
“Bagi saya tempoh enam bulan lebih sesuai untuk lengkapkan (pusingan kerja petugas kaunter) petugas baharu di kaunter dengan pengetahuan diperlukan sebelum berlaku perubahan bagi fasa berikutnya.
“Tempoh berkenaan adalah munasabah kerana kita memiliki banyak kaunter, sama ada di bawah seliaan kementerian dan jabatan masing-masing mahupun Jabatan Perkhidmatan Jalan (JPJ) dan perkara ini akan dilihat secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai jangka masa pelaksanaan pusingan kerja bagi semua petugas kaunter membabitkan semua kementerian dan jabatan yang mula dilaksanakan semalam.
Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Amanat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam 2025 dan Perhimpunan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), di sini hari ini.
Dalam majlis sama, beliau turut melancarkan Panduan Pelaksanaan Pandu Citra dalam Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pelaksanaan pusingan ini akan dilaksanakan secara berperingkat bagi membolehkan penyelarasan dibuat secara menyeluruh selain mengelak gangguan operasi.
“Kita tukarkan sebahagian daripada mereka dahulu dan kekalkan sebilangan kakitangan sudah agak lama di situ (kaunter) yang akan dipindahkan pada fasa berikutnya.
“Ini bagi membolehkan proses transformasi mengenai pengetahuan dan perkara perlu ada berkaitan urusan di kaunter berlaku.
“Malah, urusan di kaunter bukannya mudah bagi kakitangan tidak berpengalaman (mengenai sesuatu perkara yang khusus),” katanya.
Pelaksanaan pusingan tugasan di kaunter ini dicadangkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, yang mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diarah meneliti dan melaksanakan pusingan kerja ke atas semua penjawat awam yang berkhidmat lebih lima tahun di kaunter perkhidmatan kerajaan.
Beliau menegaskan, tempoh lima tahun untuk bertugas di kaunter perkhidmatan disifatkan terlalu lama.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |