
Tanpa segan silu, Trump cadang ambil alih Gaza
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencetuskan kontroversi apabila mencadangkan negara itu mengambil alih dan membangunkan semula Semenanjung Gaza.
Dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, Trump turut mencadangkan agar penduduk Palestin di Gaza berpindah ke kawasan lain bagi menjalani kehidupan lebih aman.
“AS akan mengambil alih Gaza dan kita akan bertanggungjawab untuk membersihkan sisa-sisa bom yang tidak meletup serta senjata berbahaya di sana.
“Kita akan meratakan kawasan itu, menghapuskan bangunan yang telah musnah dan membangunkannya semula,” katanya.
Menurut Trump, pelan pembangunan itu akan mewujudkan peluang pekerjaan serta penempatan baharu bagi penduduk di kawasan tersebut.
“Kita perlu bekerjasama dengan negara lain yang mempunyai perikemanusiaan dan sedia membantu membina kawasan baharu untuk kira-kira 1.8 juta penduduk Gaza.
“Ini boleh dibiayai oleh negara-negara kaya di rantau ini,” katanya lagi.
Beliau menegaskan bahawa langkah itu akan membawa kestabilan jangka panjang bukan sahaja kepada Gaza, tetapi kepada seluruh rantau Asia Barat.
“Saya melihat ‘kedudukan’ jangka panjang AS di wilayah itu akan membawa kestabilan besar ke rantau ini. Semua pihak yang saya berbincang mengenainya menyokong idea ini,” ujarnya seperti dilaporkan ABC News.
Ketika ditanya siapa yang akan menetap di Gaza sekiranya AS mengambil alih, Trump berkata, penempatan itu akan dibuka kepada individu dari seluruh dunia.
Trump yang menggelarkan wilayah itu sebagai “Riviera Timur Tengah” menegaskan apa yang berlaku di Gaza tidak akan dibiarkan berulang dan tidak boleh dibiarkan menjadi semakin buruk.
Bagaimanapun ketika ditanya sekiranya penduduk Palestin akan dibenarkan pulang ke Gaza selepas dipindahkan, beliau dengan keras menafikan hak rakyat Palestin.
“Kenapa mereka mahu kembali? Kita boleh lakukan sesuatu yang lebih baik sehingga mereka tidak mahu kembali. Tempat itu adalah neraka selama ini,” katanya.
Berhubung kemungkinan AS menghantar tenteranya ke Gaza, Trump tidak menolak sebarang kemungkinan.
“Jika perlu, kita akan lakukan. Kita akan ambil alih tempat itu dan membangunkannya, mencipta ribuan peluang pekerjaan,” tegasnya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |