Berita Semasa

Nama Malaysia tiada dalam senarai negara digantung visa Arab Saudi

KUALA LUMPUR – Nama Malaysia tidak tersenarai dalam kalangan 14 negara yang digantung visa berbilang kemasukan (MEV) oleh Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ini menunjukkan kepercayaan kerajaan negara berkenaan terhadap pengurusan Tabung Haji.

“Kita serahkan kepada kebijaksanaan kerajaan Arab Saudi, saya percaya yang keputusan ini dibuat berdasarkan kepada hasrat yang murni.

“Di pihak Tabung Haji, kita akan sentiasa memberikan perkhidmatan dan kerjasama yang terbaik.

“Kita juga sentiasa mengingatkan jemaah haji kita termasuklah bagi tahun 1446 Hijri ini supaya terus mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan 25 Tan Kurma sempena Ramadhan 1446H di Atase Agama Kedutaan Besar Diraja Arab Saudi, di sini hari ini.

Hadir sama, Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mesaad Ibrahim Al-Sulaim.

Arab Saudi sebelum ini mengumumkan rombakan besar-besaran terhadap dasar MEV dengan mengehadkan pelancong daripada 14 negara kepada visa kemasukan tunggal untuk pelancongan, perniagaan dan lawatan keluarga bermula pada 1 Februari tahun ini.

Antara negara terkesan adalah Algeria, Bangladesh, Mesir, Ethiopia, India, Indonesia, Iraq, Jordan, Maghribi, Nigeria, Pakistan, Sudan, Tunisia dan Yaman.

Dalam perkembangan lain, Mohd Na’im memberitahu, surat tawaran mengerjakan haji sudah diedarkan kepada keseluruhan 31,600 bakal jemaah negara tahun ini.

Beliau turut mengesahkan bahawa Malaysia sudah mengemukakan permohonan kepada Arab Saudi supaya memberi 10,000 kuota tambahan jemaah haji bagi tahun ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button