Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Lelaki disyaki bakar kereta isteri dicekup tengah malam tadi

 

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki yang disyaki membakar sebuah Toyota Vios milik isterinya dalam kejadian di Jalan Tebrau, Ahad lalu, berjaya diberkas polis dalam serbuan tengah malam tadi.

Suspek berusia 25 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12.20 tengah malam selepas melarikan diri ke Bukit Pasir, Batu Pahat, sejurus kejadian.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, penahanan dilakukan hasil operasi pasukan D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama D7 Bahagian Siasatan Jenayah Batu Pahat.

“Pasukan kami menjalankan dua serbuan serentak di Bukit Pasir, Batu Pahat dan Taman Sri Tebrau, Johor Bahru.

“Hasilnya, suspek berjaya ditahan di Bukit Pasir bersama sebuah Toyota Vellfire yang digunakan ketika kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Suspek kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat pagi ini untuk permohonan reman dan dibenarkan direman selama tujuh hari hingga 11 Februari bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, tular di media sosial rakaman kejadian sebuah Toyota Vios disimbah petrol sebelum terbakar berhampiran sebuah hospital swasta di Jalan Tebrau.

Difahamkan, perbuatan khianat itu dilakukan sendiri oleh suami pemilik kenderaan berkenaan hingga menyebabkan isterinya mengalami kerugian hampir RM90,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat dengan api.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button