Berita Semasa

Krisis vape di sekolah: KPM akui gagal bendung peningkatan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) mendedahkan berlaku peningkatan trend penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan murid sekolah dengan 19,450 murid dilaporkan terlibat pada tahun ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, angka tersebut berdasarkan statistik yang direkodkan dalam Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) sekali gus menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Bagi vape, kami tidak menafikan bahawa ia menandakan satu trend yang meningkat.

“Pada 2024 sebanyak 19,450 murid dilaporkan terbabit iaitu 0.38 peratus daripada jumlah keseluruhan murid di bawah KPM,” katanya ketika sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang meminta KPM menyatakan statistik pembabitan murid sekolah dalam penggunaan rokok elektronik atau vape.

Dalam pada itu, Wong memaklumkan bahawa trend merokok konvensional dalam kalangan murid menunjukkan penurunan berdasarkan data SSDM tahun lalu.

“Pada tahun lalu, seramai 3,704 murid, bersamaan 0.07 peratus daripada keseluruhan murid dikesan terlibat dalam kegiatan merokok.

“Untuk semua kes yang saya nyatakan, kita dapat lihat bahawa trend murid terlibat dalam merokok menurun, tetapi untuk vape pula, trendnya meningkat,” ujarnya.

Menurut beliau, KPM melalui pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah mengambil tindakan sewajarnya terhadap murid yang terlibat, berpandukan garis panduan serta surat siaran yang sedia ada.

“Saya mohon kerjasama semua pihak termasuk masyarakat dan ibu bapa agar membantu KPM dalam meningkatkan kesedaran tentang keburukan dan bahaya rokok elektronik dan vape terhadap anak-anak kita,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, usaha membanteras masalah itu memerlukan komitmen menyeluruh daripada semua pihak bagi memastikan kesejahteraan generasi muda terpelihara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button