
JAKIM sedang muktamadkan garis panduan penyertaan Muslim dalam majlis bukan Islam
KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang memuktamadkan garis panduan khusus berkaitan penyertaan orang Islam dalam sambutan perayaan, upacara kematian, kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat bukan Islam
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, garis panduan itu diperkenalkan supaya pembabitan orang Islam dalam majlis sedemikian tidak disertakan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti.
Ia turut membabitkan ucapan atau nyanyian berbentuk propaganda, penyebaran risalah dan agama, persembahan atau ucapan yang menghina atau mempersendakan pegangan agama umat Islam.
Garis panduan itu akan turut menjelaskan mengenai pelaksanaan majlis dalam tempoh umat Islam melaksanakan ibadah seperti waktu azan, solat jemaah, khutbah dan solat Jumaat.
“… juga membabitkan lokasi majlis tidak berhampiran dengan masjid, surau, tanah perkuburan Islam dan tanah wakaf serta premis yang digunakan tidak mempamerkan simbol keagamaan bukan Islam,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) berhubung ketetapan kerajaan mengenai sambutan perayaan agama lain selain Islam di premis kerajaan yang turut membabitkan orang Islam.
Mohd Na’im seterusnya berkata, pihak penganjur juga perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berautoriti dan pandangan pihak berkuasa agama Islam sekiranya jemputan membabitkan pemimpin atau orang Islam sebelum sesuatu majlis perayaan dilaksanakan.
“Garis panduan ini akan dimuktamadkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali ke-126 yang dijadualkan pada 25 hingga 27 Februari ini.
“Garis panduan ini juga melengkapi garis panduan 2005 dan masih boleh dijadikan sebagai panduan. Mana-mana yang dalam garis panduan lama bertentangan dengan yang baharu, maka garis panduan yang lama tidak akan terpakai,” katanya lagi
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |