
Inisiatif kedai gunting rambut komuniti akan diperluas ke lebih banyak PPR, PA – Dr. Zaliha
KUALA LUMPUR – Konsep kedai gunting rambut komuniti di bawah inisiatif Program Usaha Jaya Insan (PUJI) akan diperluas ke lebih banyak kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di sekitar Kuala Lumpur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, mereka yang berminat untuk menyertai program itu diminta untuk berhubung dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Insya-Allah, saya telah berbincang dengan Datuk Bandar, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif untuk memperluaskan insiatif ini di PPR dan PA lain juga di Kuala Lumpur.
“Kepada mereka yang berminat, boleh terus berhubung dengan pihak DBKL,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau hari ini.
Terdahulu, Dr. Zaliha merasmikan kedai gunting rambut Community’s Barbershop yang diusahakan oleh usahawan belia di PA Seri Perlis 2 di ibu negara hari ini.
Menurut Dr. Zaliha, sebagai sebahagian dari komitmen pemerkasaan komuniti bandar, pihaknya kita telah melaksanakan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Asas Gunting Rambut selama empat hari.
Beliau berkata, latihan itu merangkumi latihan praktikal tambahan sepanjang tahun bagi melengkapkan peserta dengan kemahiran dan bersedia memulakan perniagaan mereka sendiri.
“Empat orang peserta terbaik daripada program ini telah pun berjaya memulakan perniagaan mereka sendiri di PA Seri Perlis 2 dan pihak DBKL memberikan kadar sewa yang minimal dan berpatutan iaitu sebanyak RM250 sahaja sebulan.
“Ini lah komitmen kami di Jabatan Wilayah Persekutuan untuk terus mendayaupayakan mereka yang produktif di kota ini bagi meningkatkan taraf sosio ekonomi mereka dan akhirnya akan menyumbang kembali kepada negara dan masyarakat sekitarnya,” ujarnya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |