Berita Semasa

Penjawat awam berhutang sehingga 10 kali ganda gaji bulanan boleh dikenakan tindakan tatatertib

KUALA LUMPUR – Penjawat awam yang didapati berdepan keberhutangan yang tinggi sehingga 10 kali ganda gaji bulanan boleh dikenakan tindakan tatatertib.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, perkara itu terkandung dibawah Sub-Peraturan 13 (7) Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Apa yang dimaksudkan keberhutangan melampau ini, pada bila-bila masa keberhutangan (penjawat awam) 10 kali gaji bulanan.

“Kedua, penghutang penghakiman tidak dapat dijelaskan tempoh satu bulan atau pegawai diisytiharkan bankrap oleh mahkamah atau badan berkuasa. Ini kita sebut sebagai satu kesalahan kepada penjawat awam,” jelasnya.

Shamsul Azri berkata demikian dalam satu temubual dengan rangkaian televisyen TV3, semalam.

Sehubungan itu, para penjawat awam diseru supaya berbelanja mengikut kemampuan bagi mengelak terjerat dengan hutang yang membebankan.

Sehingga tahun 2023, kata Shamsul Azri, seramai 106 pegawai awam telah dikenakan tindakan tata tertib atas kesalahan bankrap disebabkan keberhutangan melampau.

Mengikut pekeliling ditetapkan tambah Shamsul Azri, pendapatan bersih penjawat awam hendaklah berada sekurang-kurangnya 40 peratus daripada gaji.

Bagaimanapun, had itu dikecualikan bagi pinjaman melibatkan pendidikan dan perumahan.

“Ketua jabatan perlulah memantau gaya hidup dan mengambil peduli pegawai dibawahnya. Ketua jabatan juga boleh merujuk pegawai kepada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

“Atau merujuk pegawai psikologi dan mesti ketua jabatan hendaklah memastikan setiap masa gaji bersih (pegawai bawahan) tidak kurang daripada 40 peratus. Ini antara tindakan preventif perlu diambil oleh ketua jabatan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button