Berita Semasa

Panglima ATM mahu usaha tangani tohmahan, persepsi negatif dipertingkat

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan meningkatkan usaha dalam menangkis tohmahan dan persepsi negatif yang dilemparkan terhadap pasukan pertahanan negara itu.

Komitmen itu disuarakan Panglima ATM, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar, yang mahu usaha itu dilaksanakan menerusi pelbagai saluran termasuk kerjasama yang lebih erat bersama pihak media.

“Saya tekankan kepentingan media untuk memaklumkan apa yang kita lakukan. Kita juga akan membuat kajian impak terhadap pelaksanaannya dan kita boleh bergerak ke hadapan daripada situ,” katanya selepas ditanya mengenai keutamaan beliau selaku Panglima ATM yang baharu.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Sambutan Mula Tugas dan Ucaptama Panglima ATM ke-23, di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Hadir sama, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Mohd Nizam menambah, pengguna media sosial sering kali kekurangan pengetahuan mengenai ATM, dan oleh itu, kerjasama yang lebih erat dengan pihak media adalah penting untuk memberikan penjelasan yang jelas dan tepat mengenai peranan serta sumbangan ATM.

“Sesetengah pengguna media sosial mereka kurang pengetahuan mengenai ATM dan kita lakukan bersama-sama bagi membuktikan ini maklumat tepat mengenai ATM dan hala tuju pasukan ini.

Mengulas mengenai tuduhan dan tanggapan buruk yang sering dimainkan menerusi media sosial, Mohd Nizam berkata, kebanyakan isu itu hanya digembar gemburkan dengan tujuan untuk mendapatkan reaksi ATM.

“Perkara yang tidak begitu serius, kami tidak akan berikan reaksi, tapi dengan aktiviti yang akan kami lakukan ini akan membuktikan secara sendirinya isu yang digembar gemburkan itu tidak benar, tidak wujud.

“Maklum balas untuk segala tohmahan, kami akan membuktikan melalui tindakan yang sewajarnya. Kami tidak akan secara terus menjawab tetapi kita akan buktikan bahawa kami pasukan yang profesional dan berkredibiliti,” jelasnya.

Mohd. Nizam berucap pada Majlis Sambutan Mula Tugas dan Ucaptama Panglima Angkatan Tentera ke-23 di Wisma Pertahanan Kuala Lumpur. – Foto Najmi Zulkefle/ Malaysia Tribune

Terdahulu, dalam ucaptama beliau, Mohd Nizam berkata, pelan strategi media kurang diberi perhatian, sedangkan ia merupakan aspek penting dalam usaha membentuk naratif yang berkesan serta berupaya mempengaruhi persepsi masyarakat umum terhadap angkatan tentera malaysia.

Beliau berkata, media harus berperanan sebagai saluran utama dalam memperkenalkan peranan sebenar angkatan ini kepada rakyat, sekali gus mengintegrasikan mereka sebagai sebahagian daripada ATM.

“Oleh itu, pelan strategik media yang efektif seharusnya memberi impak yang nyata dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang peranan angkatan tentera malaysia dalam pembangunan negara.

“Di samping tugas utamanya sebagai benteng pertahanan, sudah tiba masanya untuk kita membentuk naratif kita sendiri dan melaksanakannya secara sistematik demi mencapai impak yang diinginkan,” katanya.

Selain itu, Mohd Nizam turut menyeru agar setiap perancangan yang dibuat melibatkan pelaksanaan analisis jurang dan penilaian terhadap pulangan pelaburan iaitu analisi jurang dan pulangan pelaburan.

“Proses ini sangat penting kerana ia membantu mengenal pasti kekurangan atau peluang yang ada, di samping memberikan gambaran yang jelas tentang keberkesanan dan impak kewangan sesuatu inisiatif.

“Melalui pendekatan ini, keputusan yang lebih strategik dan berinformasi dapat dibuat, memastikan sumber daya digunakan dengan optimum,” ujarnya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button