Berita Semasa

Lima program warnai Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia – Menteri Perpaduan

PUTRAJAYA – Kementerian Perpaduan akan menganjurkan lima program sempena Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia, tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata, sebagai sebuah negara yang menjunjung tinggi prinsip ‘Harmoni Dalam Kepelbagaian’, rakyat Malaysia mesti bekerjasama untuk memperkukuh ikatan antara agama, etnik, dan budaya.

“Untuk memastikan keharmonian antara agama terus dipertingkatkan, beberapa langkah perlu diberi perhatian dan dititikberatkan oleh semua pihak.

“Dialog yang konstruktif antara penganut agama adalah cara terbaik untuk meningkatkan pemahaman dan mengurangkan ketegangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, antara program yang akan diadakan sempena sambutan minggu ini termasuklah Jejak Harmoni Metasemesta
(14 – 16 Februari 2025), Perarakan Harmoni (15 – 16 Februari 2025), Program Jejak Harmoni (15 Februari 2025), Dialog Harmoni (16 Februari 2025) dan Mesyuarat Jawatankuasa HARMONI (19 Februari 2025).

“Keharmonian antara penganut agama merupakan satu tonggak penting dalam usaha kita mewujudkan negara yang sejahtera.

“Ia bukanlah sesuatu yang datang dengan sendirinya, tetapi ia memerlukan usaha yang berterusan daripada setiap lapisan masyarakat, terutamanya pemimpin agama,” katanya lagi.

Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia atau World Interfaith Harmony Week (WIHW) merupakan acara tahunan disambut pada minggu pertama bulan Februari setiap tahun dan diiktiraf dalam resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada 20 Oktober 2010.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button