Politik

Jawatan presiden, timbalan presiden PKR belum diputuskan untuk dipertanding

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih belum membuat keputusan sama ada jawatan presiden dan timbalan presiden akan dipertandingkan dalam pemilihan parti yang dijadualkan bulan Mei ini.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Hadi berkata, sebarang kenyataan berkaitan perkara tersebut hanyalah pandangan peribadi pemimpin dan ahli parti.

“Bagi cadangan Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, setakat ini tiada keputusan rasmi daripada parti. Itu bermakna kenyataan yang dibuat oleh mana-mana pemimpin adalah pandangan peribadi mereka.

“Sama ada akan ada pertandingan atau tidak, saya percaya keputusan parti kelak akan berdasarkan rasional dan pertimbangan yang wajar,” katanya memetik laporan MalayMail semalam.

Sebelum itu, Ketua Biro Antarabangsa PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin mencadangkan agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan bagi memastikan kestabilan parti.

Cadangan itu dikemukakan berdasarkan perbincangan dalaman serta maklum balas daripada sesi libat urus sebelum ini.

Mengulas lanjut, Adam berkata, selain mengekalkan perpaduan parti, PKR juga perlu memperkenalkan sistem pemilihan baharu bagi memastikan keadilan kepada semua calon.

“Kita perlu memastikan amalan politik wang tidak berlaku dalam pemilihan kali ini, terutamanya memandangkan kita adalah sebahagian daripada kerajaan di mana individu berpengaruh mungkin mempunyai kelebihan.

“Jadi apakah formula terbaik untuk memastikan pemilihan berjalan lancar? Ini sepatutnya menjadi fokus utama,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, beliau turut menggesa semua ahli dan pemimpin parti untuk terus mengekalkan semangat perpaduan demi kestabilan PKR sebagai komponen utama dalam kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button