Berita Semasa

Diskaun tol 50 peratus pada musim perayaan tahun ini – Menteri Kerja Raya

SEKINCHAN – Pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus akan dilaksanakan pada setiap musim perayaan tahun ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keputusan itu selari dengan keputusan Kabinet untuk menyelaraskan peruntukan subsidi bagi memastikan ia lebih disasarkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan bantuan.

“Jadi, keputusan itu masih kekal, dan tiada lagi tol percuma tahun ini.

“Seperti yang diumumkan sebelum ini, tiada tol percuma semasa Tahun Baharu Cina minggu lalu, sebaliknya diskaun sebanyak 50 peratus diberikan.

“Oleh itu, bagi Aidilfitri dan perayaan lain tahun ini, kami juga akan melaksanakan diskaun tol sebanyak 50 peratus,” katanya.

Alexander berkata demikian selepas mengadkan lawatan kerja ke tapak pembinaan jejantas pejalan kaki dan motosikal di hadapan SK Sungai Leman, di sini hari ini.

Alexander kemudiannya menambah, Kabinet mempunyai fleksibiliti untuk mengkaji semula dan membuat keputusan berdasarkan keperluan semasa.

“Semua kos tol ditanggung oleh kerajaan, bukan oleh syarikat konsesi. Saya berharap orang ramai sedar akan perkara ini (bahawa dana awam digunakan).

“Jika kita melaksanakan tol percuma, kerajaan akan membelanjakan lebih daripada RM100 juta setahun.

“Dengan diskaun 50 peratus, kerajaan akan membayar kira-kira RM80 juta kepada syarikat konsesi, dan penjimatan ini boleh digunakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya,” jelasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button