
Bursa Malaysia bangkit, FBM KLCI naik 3.4 mata
KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini apabila pasaran ekuiti global kembali stabil selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menangguhkan cadangan pengenaan tarif ke atas Mexico dan Kanada.
FBM KLCI mencatat kenaikan 3.4 mata kepada 1,557.03 sebaik dagangan dibuka pada Selasa.
Bagaimanapun, pasaran dijangka kekal berhati-hati berikutan kebimbangan terhadap risiko perang perdagangan antara AS dan rakan dagangan utamanya.
Rakuten Trade dalam nota penyelidikannya berkata, ketidaktentuan yang berterusan mendorong pelabur memindahkan dana ke aset selamat, terutamanya emas yang kini melepasi paras USD2,800 seauns.
“Bagi hari ini, kami menjangkakan indeks bergerak dalam julat 1,550 hingga 1,560 apabila pelabur memilih untuk berada di tepi menunggu keadaan pasaran lebih stabil,” memetik laporan The Star Online.
Dalam perkembangan lain, Trump turut mengumumkan pengenaan tarif tambahan 10 peratus ke atas eksport China termasuk sarung tangan perubatan dan pembedahan.
Menurut Malacca Securities Research, langkah itu dijangka memberi kelebihan kepada kaunter sarung tangan tempatan yang mencatatkan peningkatan susulan pengumuman tersebut.
Firma itu turut menjelaskan, penurunan harga kaunter pembinaan baru-baru ini membuka peluang kepada pelabur yang ingin mengambil kesempatan daripada inisiatif Zon Ekonomi Khas JS-SEZ dan projek pusat data yang sedang berkembang di Malaysia.
Antara kaunter rugi utama ialah Nestle yang susut 76 sen kepada RM89.04, Hong Leong Bank turun 10 sen kepada RM20.18, manakala PETRONAS Chemicals merosot sembilan sen kepada RM4.32.
Sementara itu, F&N melonjak 36 sen kepada RM25.56 selepas mengumumkan keputusan kewangan terbarunya semalam.
Guan Chong naik 19 sen kepada RM4.42, manakala Sunway Construction menambah sembilan sen kepada RM3.59.
Kaunter aktif pula menyaksikan Harvest Miracle meningkat 1.5 sen kepada 20 sen Oriental Kopi naik satu sen kepada 86.5 sen, Compugates kekal pada 1.5 sen manakala YTL Power menambah satu sen kepada RM3.06.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |