Berita Semasa

ATM akan anjurkan ‘town hall’ bersama veteran bincang isu pencen, faedah perubatan – PAT

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menganjurkan sesi dialog awam atau ‘town hall’ bersama veteran sebagai usaha memperjuangkan nasib dan mempertingkatkan ekonomi golongan yang telah banyak berkorban untuk negara itu.

Menurut Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar, pertemuan itu akan membincangkan mengenai pelbagai isu termasuk isu pencen, ganjaran dan faedah perubatan.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengarahkan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM untuk mengadakan sesi berkenaan dalam masa terdekat.

“Kita akan mendengar apa yang ingin diutarakan dan akan memaklumkan apakah (perkembangan) yang terkini dan juga mungkin menjelaskan dan merungkaikan permasalahan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Sambutan Mula Tugas dan Ucaptama Panglima ATM ke-23, di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Hadir sama, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Terdahulu, menerusi ucaptama, Mohd Nizam menyatakan komitmen ATM untuk sentiasa membantu dan berusaha melaksanakan yang terbaik untuk para veteran di negara ini.

“Malah, menteri pertahanan dan Timbalan menteri pertahanan turut bersama-sama dalam Usaha memperjuangkan nasib dan mempertingkatkan Ekonomi para veteran.

“Justeru, penubuhan Jabatan Hal Ehwal Veteran adalah bertujuan menjaga kebajikan para veteran sebaik mungkin, walaupun wujud kekangan-kekangan yang tertentu,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button