
55 mayat mangsa nahas American Airlines ditemukan
WASHINGTON – Seramai 55 daripada 67 mangsa yang terkorban dalam nahas udara pertembungan pesawat penumpang American Airlines dan helikopter tentera Amerika Syarikat (AS) di Sungai Potomac minggu lalu berjaya ditemukan.
Penolong Ketua Jabatan Bomba Washington D.C., Gary Steen berkata, operasi mencari dan menyelamat masih giat dijalankan bagi mengesan baki mangsa yang belum ditemukan.
“Pasukan kami bersama agensi berkaitan terus berusaha dalam operasi pemulihan.
“Sehingga kini, 55 mayat sudah dikenal pasti, selain penemuan beberapa serpihan anggota badan yang sedang melalui proses pengesahan oleh Pejabat Ketua Pemeriksa Perubatan D.C.,” katanya dalam sidang media, semalam.
Sementara itu, Pasukan Kejuruteraan Kor Tentera AS memulakan operasi mengangkat serpihan pesawat dari dasar sungai sejak awal pagi semalam.
Komander Kor Kejuruteraan ke-249, Kolonel Frank Pera berkata, operasi itu dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu bagi mengangkat keseluruhan bangkai pesawat.
“Kami berjaya mengeluarkan salah satu daripada dua enjin pesawat sekitar pukul 10 pagi, manakala sayap pesawat mula dinaikkan pada pukul 2.30 petang,” katanya.
Menurutnya, keadaan cuaca, terutamanya tiupan angin, turut dikaji kerana ia boleh memberi kesan terhadap usaha mengangkat serpihan pesawat.
Dalam pada itu, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) dijangka mengeluarkan data radar berkaitan nahas terbabit hari ini, namun punca sebenar perlanggaran udara itu masih dalam siasatan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |