Berita Semasa

Maritim Malaysia tahan bot penumpang abai aspek keselamatan, bawa penumpang melebihi had

KUALA TERENGGANU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah sebuah bot penumpang yang didapati membawa muatan melebihi had dibenarkan serta mengabaikan aspek keselamatan demi mengejar keuntungan.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kapten Maritim Mohd Khairulanuar Abdul Majid, bot tersebut ditahan dalam Op IMAN ketika dalam perjalanan dari Kuala Besut menuju ke Pulau Perhentian, sekitar 0.9 batu nautika timur laut Muara Kuala Besut, pada pukul 11 pagi semalam.

“Hasil pemeriksaan mendapati, bot berkenaan membawa 20 penumpang, termasuk nakhoda, pembantu nakhoda, serta tujuh kanak-kanak, dan kesemua mereka didapati tidak memakai jaket keselamatan.”

“Selain itu, bot tersebut didapati beroperasi tanpa lesen sah daripada Jabatan Laut Malaysia serta membawa penumpang melebihi kapasiti yang dibenarkan,” katanya lagi.

Bot tersebut kemudiannya ditahan daripada meneruskan perjalanan dan diiring ke Jeti Pos Maritim Besut untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Jelas beliau, tindakan segelintir pengusaha yang mengabaikan prosedur keselamatan seperti pemakaian jaket keselamatan dan penyelenggaraan peralatan kecemasan, termasuk alat pemadam api yang tamat tempoh, boleh mengundang risiko kehilangan nyawa pada bila-bila masa.

“Kami memandang serius isu ini dan akan mempertingkatkan rondaan di kawasan-kawasan aktiviti pelancongan bagi memastikan keselamatan pelancong serta mencegah daripada sebarang insiden tidak diingini,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button