Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Insiden tembak warga Indonesia: Polis siasat insiden, anggota Maritim Malaysia direhatkan

KUALA LUMPUR – Siasatan kes tembakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan lima warga Indonesia di perairan Tanjung Rhu dekat Pulau Carey, Selangor pada 24 Januari lalu mungkin membawa kepada kes-kes yang lebih serius.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan yang dilakukan polis setakat ini menjurus kepada siasatan kes melibatkan seksyen bagi kesalahan penyeludupan dadah dan senjata api.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan hasil daripada maklumat daripada penahanan seorang lelaki yang disahkan berperanan sebagai ‘transporter’ dan terlibat dengan kumpulan suspek yang terlibat.

“Siasatan yang dibuat sekarang adalah di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu percubaan membunuh; Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960; Seksyen 186 iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 26A (Penyeludupan migran).

“Namun kita tidak menolak kemungkinan hasil siasatan membawa kepada kesalahan yang lebih serius seperti penyeludupan dadah dan senjata api,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Susulan kemungkinan itu juga katanya, siasatan kes kini diambil alih daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Banting tapi diambil alih ibu pejabat (Bukit Aman).

Terdahulu, Saifuddin menerangkan kronologi insiden tembakan oleh anggota Maritim Malaysia terhadap warga Indonesia yang enggan memberhentikan bot ketika diberi amaran oleh Maritim Malaysia.

Katanya, dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, suspek yang terkena tembakan berjaya melarikan diri dan ditahan ketika mendapatkan rawatan di Hospital Serdang dan Hospital Klang.

Salah seorang daripada suspek disahkan maut dalam kejadian itu.

Sementara itu, Saifuddin berkata, Maritim Malaysia turut menjalankan siasatan ke atas anggotanya yang terlibat dalam kejadian.

Katanya, kesemua mereka juga telah direhatkan sementara siasatan selesai dijalankan.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button