
Bantahan awal ibu bapa Zayn Rayyan ditolak, perbicaraan bermula petang ini
PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen menolak bantahan awal yang dikemukakan oleh ibu bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matin kanak-kanak autisme berusia enam tahun, yang berdepan pertuduhan mengabaikannya sehingga berisiko menyebabkan kecederaan fizikal.
Hakim Dr Syahliza Warnoh dalam keputusannya berkata, pertuduhan terhadap Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf adalah sah dan mengikut peruntukan undang-undang.
“Tiada unsur dalam pertuduhan yang menunjukkan tertuduh dinafikan hak untuk membangkitkan pembelaan sewajarnya.
“Oleh itu, bantahan awal dikemukakan pembelaan ini ditolak. Kes untuk bicara akan bermula pukul 2 petang ini,” katanya ketika prosiding.
Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan kerana didakwa bersama-sama sebagai penjaga Zayn Rayyan telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa berlaku di sekitar Jalan PJU Damansara Damai, di sini, antara pukul 12 tengah hari pada 5 Disember 2023 hingga 9.55 malam keesokan harinya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Kes itu mendapat perhatian meluas masyarakat susulan insiden tragis yang menimpa Zayn Rayyan sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi berhubung isu keselamatan dan kebajikan kanak-kanak di negara ini.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |