
RTG Olimpik Los Angeles 2028: Hannah akan jumpa Zii Jia, Sze Fei-Nur Izzuddin
KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengatur pertemuan bersama beberapa atlet negara bagi membincangkan potensi dan bantuan boleh disalur menerusi program Road To Gold (RTG) ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, atlet tersebut termasuk perseorangan profesional lelaki Lee Zii Jia serta beregu profesional lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani
“Selepas Sukan Olimpik Paris tahun lepas, kami (jawatankuasa) membincangkan bagaimana boleh membantu menyediakan pemain profesional seperti Zii Jia dengan sistem sokongan yang lebih baik. Zii Jia tidak berada di bawah program RTG tapi kami akan membincangkan perkara ini
“Termasuk Sze Fei-Nur Izzuddin, kami ingin tahu bagaimana kami boleh membantu mereka dan pertemuan itu adalah untuk membincangkan kemungkinan kerjasama dengan RTG,” kata beliau sambil menambah perbincangan itu dijangka dibuat bermula bulan hadapan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan projek naik taraf kemudahan gelanggang bola keranjang di Bukit Maluri di sini semalam.
Jelas Hannah, perjumpaan itu tidak dapat diatur dengan segera setelah mengambil kira pelbagai aspek termasuk cuti perayaan Tahun Baharu Cina.
“Kita akan uruskan selepas itu, kemudian tak lama lagi bulan puasa. Jadi, kami sedang cuba mengatur masa kerana atlet juga perlu melakukan perjalanan,” katanya.
Minggu lalu, Sze Fei-Nur Izzuddin dilaporkan menyambut baik tawaran daripada Jawatankuasa RTG untuk menyertai program berkenaan sebagai persiapan menuju ke LA28.
Pada masa yang sama, Hannah memaklumkan pihaknya bakal mengadakan rombakan dalam jawatankuasa RTG selain penilaian semula atlet di bawah program itu berdasarkan kedudukan ranking 10 teratas.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |