
Razman perlu insaf, henti fitnah – Syahredzan
IPOH – Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, menasihati Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, supaya insaf dan menghentikan perbuatan fitnah yang didakwa sering dilakukan secara berulang kali.
Syahredzan berkata, kepercayaan masyarakat terhadap seseorang yang kerap terlibat dalam kontroversi fitnah semakin sukar diberikan, apatah lagi apabila kesalahan tersebut dilakukan secara berulang.
“Sangat sukar untuk kami percaya kepada seorang pemfitnah berulang.
“Kami cenderung percaya bahawa Haji Razman hanya mengakui kesilapannya kerana isu itu sudah tular dan beliau bimbang dikenakan tindakan saman, seperti wakil PAS yang lain.
“Insaflah, wahai Haji Razman,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Kenyataan itu merujuk kepada kontroversi terbaru Razman yang mendakwa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, sebagai “anak kepada pengasas YTL,” Yeoh Tiong Lay, ketika berucap di Seri Iskandar, baru-baru ini.
Bagaimanapun, selepas kenyataannya itu dilaporkan media, Razman tampil memohon maaf kepada Hannah Yeoh dan pihak YTL, sambil mengakui kesilapan fakta tersebut.
“Saya mengakui bahawa Hannah Yeoh tiada kaitan dengan tokoh korporat atau syarikat YTL. Ia adalah kesilapan fakta yang berlaku tanpa sengaja.
“Saya menyatakan kekesalan dan memohon maaf kepada YB Hannah Yeoh, pihak YTL, serta mana-mana pihak yang terkesan atau tersentuh dengan kenyataan itu,” katanya lagi.
Dalam kenyataan lain, ADUN Gunong Semanggol itu menyalahkan media yang didakwa hanya memetik sebahagian kecil ceramahnya untuk dijadikan tajuk berita.
“Pemberitaan yang merujuk ayat saya tentang Hannah Yeoh kira-kira hanya sepuluh saat daripada keseluruhan ceramah lebih setengah jam.
“Saya sedikit kecewa kerana pemberita seperti sengaja mencari kesilapan tanpa menyoroti kejayaan program tiga hari tersebut,” ujarnya.
Syahredzan turut mengingatkan bahawa Razman sebelum ini pernah beberapa kali memohon maaf atas kenyataan kontroversinya.
Pada Disember lalu, Razman memohon maaf kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming kerana mengaitkannya dengan insiden kibaran bendera China di Teluk Intan.
Kenyataan kontroversi Razman itu dibuat tidak lama selepas Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad, diarah membayar lebih RM830,000 kepada tiga pemimpin DAP selepas kalah saman dalam kes fitnah serupa.
Syahredzan berharap kejadian itu menjadi pengajaran kepada Razman untuk lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |