
ASEAN 2025: Cabaran pulih ekonomi, ketegangan geopolitik, keselamatan serantau
MALAYSIA sekali lagi diberi mandat untuk memikul tanggungjawab memimpin Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) tahun ini.
Sebagai negara yang memainkan peranan penting dalam pembentukan ASEAN sejak penubuhannya pada tahun 1967, tugas sebagai Pengerusi bukanlah sesuatu yang asing.

Namun setiap kali Malaysia mengambil alih jawatan ini dalam tempoh hampir 10 tahun sekali, ia datang dengan cabaran dan dinamika serantau yang sentiasa berubah.
Menyelusuri sejarah yang panjang, Malaysia pernah menjadi Pengerusi ASEAN pada beberapa tempoh penting. Antaranya pada tahun 1977, 1997, 2005 dan yang terbaharu pada 2015.
Setiap era mencerminkan fokus yang berbeza seperti memperkukuh integrasi ekonomi serantau dan menangani cabaran politik serta keselamatan di Asia Tenggara.
Sebagai contoh pada 2015, Malaysia berjaya memimpin usaha pembentukan Komuniti ASEAN, sebuah inisiatif bersejarah yang menggabungkan tiga tonggak utama iaitu Komuniti Politik dan Keselamatan, Komuniti Ekonomi dan Komuniti Sosio-Budaya.

Tahun 2025 ini, sekali lagi Malaysia diberi peluang untuk memimpin, tetapi dengan cabaran baharu yang menuntut kebijaksanaan kepimpinan dalam suasana geopolitik serantau yang semakin kompleks.
Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Prof Dr. Sivamurugan Pandian berkata, salah satu cabaran utama yang bakal dihadapi Malaysia adalah keupayaan membaca agenda serantau dan bertindak sesuai dengan perkembangan semasa.

“Ini bukan kali pertama Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN, tetapi keadaan sentiasa berbeza dengan isu serantau.
“Cabaran terbesar adalah bagaimana untuk membaca agenda serantau kerana Malaysia merupakan ‘figura’ yang sudah dikenali, diiktiraf dan ada kewibawaannya tersendiri,” kata Dr. Sivamurugan yang merupakan penganalisis politik terkenal negara.
Menurut beliau lagi, cabaran itu memerlukan Malaysia untuk memahami isu-isu utama seperti ketegangan geopolitik, perubahan iklim, keselamatan siber dan pemulihan ekonomi pasca-pandemik dan memastikan suara ASEAN terus dihormati di peringkat global.

Tambahnya, agenda Komuniti ASEAN menjadi salah satu kerangka penting yang dapat memberi manfaat kepada negara-negara anggota dalam pelbagai bidang.
“Agenda ini meliputi pelbagai ruang seperti perniagaan, perdagangan, kewangan, eksport-import, pelaburan, pelancongan dan aktiviti serantau lain.
“Potensinya sangat besar dan ini peluang untuk memastikan semua pihak mendapat manfaat.
“Justeru, Malaysia perlu memimpin usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang-bidang ini, terutama dengan memastikan integrasi ekonomi serantau terus menjadi keutamaan.
“Dalam keadaan ekonomi dunia yang semakin mencabar, ASEAN perlu kekal relevan sebagai destinasi pelaburan dan rakan dagang utama,” jelasnya yang merupakan Ahli Pemikir Kementerian Perpaduan Negara.
Di sebalik semua itu, Dr. Sivamurugan turut menekankan peranan utama Malaysia adalah untuk mententeramkan hubungan serantau.

“Yang penting adalah bagaimana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu mententeramkan hubungan serantau, menjadikan ASEAN lokasi strategik dan tumpuan global serta membawa kepada perbincangan isu-isu yang boleh menjadikan ASEAN mampan dan terangkum untuk Malaysia, ASEAN dan global,” tambah beliau.
Tidak terkecuali, Dr. Sivamurugan berkata, Malaysia perlu memastikan ASEAN kekal sebagai zon damai, bebas dan berkecuali (ZOPFAN) sambil memainkan peranan sebagai jambatan antara kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, China dan Kesatuan Eropah.
“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia berada di persimpangan penting untuk memimpin rantau ini ke arah masa depan yang lebih mampan dan inklusif.

“Dengan cabaran yang semakin kompleks, kewibawaan Malaysia sebagai sebuah negara yang dihormati dalam kalangan negara anggota ASEAN bakal diuji.
“Bagaimanapun, dengan sejarah dan pengalaman yang panjang dalam memimpin organisasi ini, saya yakin Malaysia mampu menggalas tugas ini dengan jayanya,” ungkap beliau.
Apa yang pasti, di sebalik pelbagai cabaran yang mungkin dihadapi, tahun ini akan menjadi peluang terbaik untuk Malaysia membuktikan bahawa ia kekal komited terhadap visi dan misi ASEAN, bukan sahaja untuk rantau ASEAN tetapi juga untuk dunia seluruhnya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |