
SHP Batang Kali berpotensi jana 5.1 Megawat – Worldwide Holdings
BATANG KALI – Operasi Loji Hidrokuasa Kecil Batang Kali (SHP Batang Kali) yang berjaya disiapkan setahun lebih awal di sini mampu menjana tenaga sebanyak 5.1 Megawat, bersamaan purata kegunaan untuk 13,000 kediaman.
Loji di atas tapak seluas 3.5 ekar yang selesai menjalani ujian pada 23 Disember lalu itu dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, kelmarin.
Pembinaan projek oleh Worldwide Holdings, anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu diserahkan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) di PMU Ulu Yam.
Amirudin dalam ucapannya berkata, penjanaan kuasa daripada loji hidrokuasa yang menggunakan teknologi turbin dari Global Hydro (Austria) dan generator dari Marelli Motori (Itali) itu akan menyumbang kepada keperluan bekalan tenaga negara.
Katanya, kelebihan projek itu terletak pada penggunaan tenaga alam semula jadi iaitu sungai.

“Berbanding projek besar seperti loji hidrokuasa Pulau Indah yang menghasilkan tenaga sehingga 1,200 Megawat (MW), SHP Batang Kali adalah lebih hijau kerana menggunakan tenaga alam iaitu sungai.
“Jika melihat pada potensi pembangunan penuh, loji ini mampu menghasilkan sehingga 5.6 megawatt.
“Dan tidak jauh dari sini, ada Loji Hidrokuasa Kecil Kerling dengan kapasiti sebanyak 4.5 megawatt.
“Jika digabungkan, Selangor mempunyai potensi penjanaan kuasa hampir 10 MW melalui loji hidrokuasa kecil,” katanya.
Amirudin berkata, melihat pada kejayaan itu, kerajaan negeri kini sedang menilai potensi untuk memperluaskan penggunaan tenaga hidrokuasa di Selangor sebagai satu lagi sumber sektor tenaga boleh diperbaharui.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide Holdings Berhad (WHB), Norazlina Zakaria berkata, operasi projek yang dapat mengurangkan hampir 200,000 tan karbon dalam tempoh 21 tahun itu selari dengan sasaran Malaysia untuk menjadi negara karbon neutral menjelang 2050.
Katanya, projek itu juga menyokong agenda nasional dan Pelan Peralihan Tenaga Nasional untuk mencapai 70 peratus kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2050 sekali gus mengukuhkan aspirasi Selangor menjadi negeri rendah karbon serta memastikan bekalan elektrik yang stabil.
“Meskipun berdepan cabaran seperti kedudukan yang berhampiran dengan resort, kami memastikan loji hidrokuasa ini direka dengan konsep landskap bagi memastikan tiada kesan negatif kepada kawasan sekitar.
“Ini membuktikan komitmen dan dedikasi pasukan kami dalam memastikan pembangunan tenaga boleh baharu dapat dilaksanakan dengan efisien serta dapat memberi manfaat kepada semua,” ujarnya.
Tambah Norazlina, sebagai salah satu pemacu sektor Tenaga di Selangor, WHB menerusi Worldwide Hydro Energy Sdn. Bhd komited untuk terus menyokong usaha pembangunan tenaga lestari demi manfaat generasi akan datang.

Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |