
PM mahu gerakkan rakyat punyai semangat angkat martabat negara, bangsa
DENGKIL – Rakyat Malaysia mesti digerakkan untuk memiliki semangat mengangkat martabat negara dan bangsa dalam keadaan dunia yang mencabar dan penuh persaingan masa kini.
Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mahu memberi lebih penekanan kepada penguasaan ilmu, kemahiran dan semangat untuk memperkukuh kekuatan dalaman sebagai langkah menghadapi cabaran dunia yang semakin mencabar dan penuh ketidaktentuan.
Perdana Menteri menjelaskan, penekanan itu dirumuskan hasil daripada lawatan kerja beliau ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), United Kingdom, Belgium dan Switzerland dari 12 hingga 22 Januari lepas.
“Satu hal yang sangat mengesankan… dunia sekarang, walaupun dengan pelbagai rencah dan rencam politik, tumpu soal ekonomi, peningkatan budaya ilmu, kemahiran, keterampilan, dan kecerdasan buatan (AI).
“Jadi, kita kena kembali mohon kepada rakyat bahawa kita hendak fokus dalam bidang itu,” kata beliau kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Pusat Islam Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Dengkil di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menikmati jamuan makan tengah hari sebelum berjalan kaki kira-kira 300 meter dari Anjung Dengkil untuk menunaikan solat Jumaat bersama para pelajar.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud.
Beliau kemudiannya menambah, dasar-dasar Amerika Syarikat yang tidak menentu ketika ini menjadikan pembinaan kekuatan dalaman negara sesuatu yang mendesak dan asas.
“Kekuatan dalaman itu bagi saya sangat mendesak, sangat asasi,” katanya lagi.
Anwar kemudian turut menekankan kepentingan memperkukuh semula hubungan dalam ASEAN sebagai kekuatan serantau selain berusaha memastikan dasar-dasar negara dapat dijelaskan dengan tuntas kepada rakyat.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |