Berita Semasa

Malaysia kekal peneraju kewangan Islam dunia

PMX main peranan tubuhkan KBI apa 1977

PUTRAJAYA – Malaysia kekal sebagai peneraju kewangan Islam di dunia apabila sekali lagi diumumkan di tangga pertama Indikator Pembangunan Kewangan Islam (IFDI) 2024.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, Malaysia berada di kedudukan pertama buat kali ke-12 berturut-turut dengan skor tertinggi 144 mata, diikuti Arab Saudi (119), Emiriah Arab Bersatu (UAE) (88), Indonesia (85) dan Pakistan (75).

Katanya, pencapaian itu adalah adalah berdasarkan penubuhan institusi penting seperti Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Amanah Ikhtiar Malaysia dan lain-lain sumbangan yang begitu signifikan dalam sejarah di negara ini.

“Tidak lupa untuk menelusuri sejarah bagaimana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) menyumbang jasa yang cukup besar, malahan sebelum bergelar menteri lagi.

“Saya selalu memaklumkan bahawa PMX adalah satu-satunya pemimpin dunia yang konsisten mempromosi ekonomi Islam dan kewangan Islam,” katanya dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.

Zulkifli berkata, antara institusi yang memainkan peranan awal dalam pengembangan kewangan Islam di Malaysia ialah Koperasi Belia Islam (KBI), yang ditubuhkan pada 31 Mei 1977 di bawah kepimpinan Anwar.

Jelas Zulkifli, KBI yang ditubuhkan oleh ABIM menjadi institusi pertama di Malaysia yang memperkenalkan produk dan instrumen kewangan berlandaskan syariah.

“Sebelum Bank Islam berjaya ditubuhkan di Malaysia, KBI telah memainkan peranan sebagai institusi yang menjalankan aktiviti kewangan Islam kepada masyarakat Islam seperti kemudahan pinjaman secara Islam.

“Penubuhan KBI adalah strategi dakwah yang dijalankan oleh Biro Ekonomi ABIM di bawah kepimpinan PMX untuk mendapatkan dana bagi keperluan para ahli dan aktiviti-aktiviti gerakan. Matlamatnya melalui koperasi adalah untuk melaksanakan sistem kewangan Islam dalam urus niaga perniagaan dan pengeluaran produk dengan mengikut syariah Islam,” katanya lagi.

Tambahnya, KBI membuka laluan kepada perkembangan institusi kewangan Islam di Malaysia seperti Bank Islam dan Sistem Perbankan Islam.

Ini kerana di waktu penubuhannya, KBI berperanan membantu masyarakat Melayu dalam beberapa kemudahan, keperluan dan urus niaga yang bersifat Islam tanpa membabitkan bunga atau riba yang menjadi ciri utama urus niaga moden hari ini, antaranya menerusi Skim Pinjaman Tanpa Faedah (SPTF).

“Hal ini menggambarkan bahawa KBI berjaya mendahului mana-mana institusi kewangan atau perdagangan di negara ini termasuklah penubuhan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) pada 11 Mei 1983,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button