Berita Semasa

Kerajaan umum potongan tol 50 peratus sempena sambutan Tahun Baharu Cina

PUTRAJAYA – Kerajaan hari ini mengumumkan pemberian potongan bayaran tol sebanyak 50 peratus sempena sambutan Tahun Baharu Cina, minggu depan.

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, potongan bayaran itu berkuatkuasa pada pukul 12.01 tengah malam 27 Januari 2025 (Isnin) dan akan berakhir pada Jam 11.59 malam, 28 Januari 2025 (Selasa).

“Potongan ini adalah bagi kenderaan persendirian Kelas 1 sahaja di semua plaza tol, kecuali di plaza tol sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, keputusan ini dicapai menerusi mesyuarat Kabinet, hari ini.

“Ini selaras dengan agenda Kerajaan MADANI dalam menjaga perpaduan dan kesejahteraan rakyat yang didukung oleh kedudukan kewangan yang kukuh hasil dari program rasionalisasi subsidi serta peningkatan pelaburan dan perdagangan,” katanya lagi.

Tambahnya, implikasi kewangan yang ditanggung kerajaan bagi membayar balik pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM20.08 juta.

“Pemberian ini (ptongan 50 peratus) merupakan kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang telah sekian kalinya diberikan oleh Kerajaan MADANI bagi keempat-empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak tahun 2023.

“Sepanjang tempoh tersebut, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM356.18 juta sebagai pampasan bagi pelaksanaan bantuan Tol Percuma Musim Perayaan dari 2023 hingga 2024,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, Alexander telah mengumumkan keputusan kerajaan menghentikan pembayaran tol percuma di waktu musim perayaan dan akan digantikan dengan satu mekanisme baharu yang lebih bersasar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button