
Kerajaan tidak halang demo anti rasuah di KL esok
DENGKIL – Kerajaan tidak akan menghalang penganjuran perhimpunan antirasuah dengan syarat mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tiada bantahan terhadap perhimpunan aman menentang rasuah yang dijadualkan di Kuala Lumpur, esok.
“Kebenaran sudah diberikan. Menteri Dalam Negeri sebut, kebenaran diberikan, cuma ada tempat-tempat yang kemudian yang tidak diberi kebenaran.
“Bagi saya tak ada masalah, buatlah, bantahlah (rasuah). Soalnya rasuah yang dibangkit-bangkit ini yang sekarang, saya jadi Perdana Menteri selama dua tahun, apa dia masalah rasuah? Ini yang boleh ditumpukan,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri solat Jumaat di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Dengkil, di sini hari ini.
Anwar kemudian menambah, perkara yang dibangkitkan ketika perhimpunan itu adalah isu lama yang sebahagiannya sudah diselesaikan.
“Dia (mereka) bangkit soal lama, yang sebahagiannya kita sudah selesaikan, sebahagian tidak mampu kita selesai. Apabila kita membangkitkan soal kehilangan berbilion-bilion, tiada pula mahu bersuara, tiada yang sokong, malah ada yang mempertahankannya.
“Kalau kamu orang kaya berbilion ringgit, ramai penyokong-penyokong. Pertahankan. Sekarang nak suruh lawan rasuah. Saya ‘komited’, kalau ada mana-mana pimpinan terbabit, beritahu, tiada masalah, kita akan tekan mereka.
“Tidak ada masalah dan ini juga saya tekankan tadi dalam mesyuarat Jemaah Menteri, ini (dia) dibangkitkan soal-soal lama yang ditutup masa mereka (kerajaan terdahulu),” katanya lagi.
Laporan media sebelum ini menyebut, perhimpunan bertemakan ‘Rakyat Benci Rasuah’ dijadualkan berlangsung esok di hadapan kompleks beli belah, Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
Sehubungan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Selasa lalu mengingatkan penganjur perhimpunan supaya mematuhi setiap peruntukan termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |