
Empat mangsa tembak parah, satu maut dihantar ke Hospital Serdang cetus tanda tanya
SEPANG – Lima warga Indonesia yang dipercayai terlibat dalam kejadian tembak ditinggalkan di Hospital Serdang dekat sini dengan empat daripadanya parah manakala seorang lagi disahkan maut ketika menerima rawatan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan insiden berkenaan dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan, lapor Harian Metro.
“Polis mengesahkan kejadian, semua individu berkenaan adalah warga Indonesia namun setakat ini identiti semua individu terbabit tidak diperolehi.
“Dalam kejadian itu seorang maut ditembak manakala empat lagi mengalami kecederaan.
“Siasatan lanjut kini sedang dijalankan mengenai kejadian berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan kes itu diketuai oleh pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dan IPD Sepang.
Siasatan turut melihat kaitan insiden itu dengan penemuan bot di kawasan perairan pantai Morib oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Menurut sumber, bot tersebut dipercayai dinaiki mangsa tembakan, di mana seorang lagi mangsa yang cedera ditemui di atas bot sebelum ditunda ke Pulau Carey untuk tindakan lanjut.
Tiga mangsa lain yang cedera dipercayai berenang ke pantai selepas kejadian sebelum dihantar ke hospital menggunakan sebuah kereta jenis Toyota Vios.
Ketika tiba, mereka dilaporkan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
“Dua daripada mereka ditemui dalam keadaan pakaian basah, manakala seorang lagi hanya memakai seluar pendek,” kata sumber.
Pihak berkuasa kini meneruskan siasatan menyeluruh untuk mengenal pasti suspek, motif serta punca kejadian yang menimbulkan persoalan ini.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |