
Zahid enggan ulas isu gag order Titah Adendum Najib Razak
BANGI – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi enggan mengulas berhubung langkah Jabatan Peguam Negara (AGC) yang ingin meneruskan permohonan bagi mendapatkan perintah larangan bersuara (gag order) bagi Titah Adendum bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Walau bagaimanapun, Presiden UMNO itu berkata, beliau akan menjawab mengenai perkara itu pada masa lain.
“Saya akan jawab pada waktu yang lain,” kata Timbalan Perdana Menteri itu ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pegawai Lapangan Risda 2025 di sini hari ini.
Terdahulu, AGC sudah memfailkan permohonan untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi mengeluarkan gag order.
Timbalan Ketua Bahagian Sivil AGC, Shamsul Bolhassan dilaporkan berkata permohonan sudah difailkan melalui e-Filing.
Pada 13 Januari lalu, Shamsul berkata, pihaknya memfailkan permohonan perintah larangan bersuara terbabit pada 20 Januari bagi melindungi institusi diraja memandangkan perkara berkenaan menyentuh isu sensitif iaitu raja, agama dan kaum (3R).
Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil pula berkata, Jemaah Menteri tidak pernah mengarahkan AGC memfailkan permohonan itu.
Pada 6 Januari lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab atau mengesahkan kewujudan Titah Adendum pada Januari 2024.
Titah adendum itu dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong terdahulu, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk Najib menjalani baki hukuman penjaranya secara tahanan rumah atas kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Keputusan itu dicapai melalui penghakiman majoriti 2-1 oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dengan Datuk Azizah Nawawi membuat keputusan berbeza.
Justeru, mahkamah memerintahkan kes semakan kehakiman itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi supaya merit semakan didengar dan diputuskan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |