Berita Semasa

UniMAP perkukuh kedudukan peneraju penyelidikan geopolimer

KANGAR – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus mengorak langkah sebagai institusi terkemuka melalui penyelidikan inovatif dengan menonjolkan kecemerlangannya dalam bidang teknologi geopolimer.

Kejayaan UniMAP memacu perubahan ke arah kelestarian teknologi itu dikupas dalam satu program syarahan umum bertajuk ‘Revolusi Geopolimer: Asas dan Potensi Aplikasi Termaju dalam Teknologi Mampan’ oleh Profesor Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah di Perlis, baru-baru ini.

Menurut Dr. Mohd Mustafa, UniMAP kini menyumbang 47 peratus penerbitan akademik Malaysia dalam bidang geopolimer seperti yang direkodkan dalam pangkalan data Scopus selain Malaysia menduduki tangga kelima selepas China, India, Australia dan Amerika Syarikat.

Dr. Mohd Mustafa (kiri) bersalaman dengan Naib Canselor UniMAP, Dr. Zaliman pada program syarahan umum tersebut.

Pencapaian tersebut katanya, menyerlahkan peranan penting UniMAP dalam kemajuan teknologi bahan mampan, sejajar dengan Pelan Hala Tuju Teknologi Bahan Termaju Negara 2021-2030 yang dilancarkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“Geopolimer diiktiraf sebagai bahan termaju yang mampu menggantikan produk pembinaan tradisional dengan alternatif yang lebih mesra alam.

“Teknologi ini menggunakan hasil sampingan industri seperti abu terbang dan sanga, sekali gus mengurangkan pelepasan karbon dioksida secara signifikan berbanding simen Portland konvensional.

“Inovasi ini bukan sahaja membantu menangani isu perubahan iklim tetapi turut mencipta nilai ekonomi melalui penggunaan bahan buangan,” ujar beliau ketika menyampaikan syarahan tersebut.

Turut hadir pada program itu ialah Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Ts. Dr. Zaliman Sauli dan warga UniMAP sebagai tanda sokongan di atas pencapaian dan usaha inovasi universiti dalam bidang itu.

Antara tetamu kehormat yang hadir memberi sokongan terhadap syarahan umum Dr. Mohd Mustafa.

Dalam syarahannya, Dr. Mohd Mustafa menggariskan keperluan dasar kerajaan yang komprehensif untuk menggalakkan penerapan teknologi hijau, khususnya bahan mesra alam dalam sektor industri.

Beliau mencadangkan insentif khas untuk syarikat yang melabur dalam bahan mampan serta pengintegrasian standard geopolimer dalam garis panduan pembinaan nasional.

Pendekatan ini dilihat dapat merangsang pertumbuhan pasaran dan memacu pengkomersialan teknologi tersebut.

Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara akademia dan industri bagi merapatkan jurang antara penyelidikan makmal dan pengeluaran komersial.

“Hubungan strategik ini dilihat dapat mempercepatkan pembangunan penyelesaian geopolimer yang disesuaikan dengan keperluan industri.

“Peningkatan pembiayaan untuk penyelidikan gunaan serta pelaksanaan projek perintis juga mampu membuktikan manfaat geopolimer secara praktikal, terutamanya dalam sektor pembinaan dan teknologi termaju,” tegasnya.

Beliau juga menggariskan perlunya inisiatif kesedaran awam bagi mempromosikan kelebihan geopolimer dari segi alam sekitar dan ekonomi.

Para tetamu sempat meminta tandatangan Dr. Mohd Mustafa untuk buku berkaitan revolusi teknologi geopolimer yang beliau tulis.

Langkah ini dijangka mampu merangsang permintaan serta mempengaruhi pasaran untuk beralih kepada bahan alternatif yang lebih mampan.

Syarahan tersebut turut menyentuh inovasi teknologi geopolimer seperti peningkatan prestasi asas jalan untuk ketahanan infrastruktur, teknik konkrit bawah air bagi pembinaan marin yang kukuh serta penggunaan abu terbang untuk meningkatkan kekuatan konkrit sambil mengurangkan sisa industri.

Tidak ketinggalan, beliau juga mengetengahkan potensi geopolimer sebagai salutan tahan api dan bahan penstabil tanah, menjadikannya relevan untuk keselamatan industri serta ketahanan infrastruktur.

Dr. Mohd Mustafa mengakhiri syarahan dengan menyeru usaha kerjasama menyeluruh antara kerajaan, industri dan akademia bagi mewujudkan rangka kerja polisi yang mantap.

“Malaysia berpotensi menjadi peneraju global dalam teknologi bahan hijau dengan memanfaatkan kekuatan penyelidikan yang dimiliki.

“Langkah ini bukan sahaja mampu memacu pertumbuhan ekonomi mampan tetapi juga memastikan pemeliharaan alam sekitar untuk generasi akan datang,” ucapnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button