Berita Semasa

TPM Zahid setuju Risda jadi pembeli tunggal hasil getah pekebun kecil

BANGI – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersetuju terhadap cadangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) menjadi pembeli tunggal hasil getah daripada pekebun-pekebun kecil di bawah kelolaan badan berkanun itu.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, langkah itu adalah penting memandangkan 89 peratus pasaran getah di negara ini sebenarnya dikuasai oleh pekebun Risda dan hanya 11 peratus sahaja daripada ladang-ladang besar.

“Langkah baru ini adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan untuk kita membela nasib pekebun kecil yang terpaksa bergantung kepada harga lantai yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam ucapan belanjawan setiap tahun.

“Oleh yang demikian mungkin kolaborasi juga boleh dilakukan untuk menentukan peningkatan harga getah dan juga pengeluaran lateks dapat
ditingkatkan kerana kita terpaksa mengimport lateks dengan nilai RM6 bilion setahun sedangkan kita adalah pengeluar.

“Maka dalam keadaan ini biarlah kita yang akan menentukan pasaran bukan pasaran yang akan menentukan harga kerana kita akan cipta produk-produk yang berasaskan kepada getah asli untuk kita berkolaborasi dengan beberapa pemain industri,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pegawai Lapangan Risda 2025 di sini hari ini.

Ahmad Zahid bersama Pengerusi Risda, Manndzri Nasib (dua kanan) serta Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang (dua kiri) pada Majlis Perasmian Konvensyen Pegawai Lapangan Risda 2025. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Terdahulu, Pengerusi Risda, Manndzri Nasib mencadangkan agar menjadi pembeli tunggal hasil getah bagi pekebun-pekebun kecil di bawah kelolaannya, sekali gus mampu mengawal harga getah dengan lebih baik.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, beliau telah meminta Ketua Pengarah Risda, Zainal Azni Zulkifli serta Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Muhd Khair Razman untuk menyediakan kertas kerja berhubung perkara itu.

“Kertas kerja itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam tempoh dua bulan ini bagi mendapatkan kesetujuan untuk Risda menjadi pembeli tunggal (getah),” jelasnya.

Mengulas mengenai sasaran untuk meletakkan Risda sebagai pengeluar nombor satu getah, Ahmad Zahid berkata, pihaknya optimis dengan sasaran tersebut dengan menetapkan tempoh masa 10 tahun.

“Walaupun kita ada 800 ribu hektar, 400 ribu hektar perlu ditanam semula jadi penanaman semula itu mesti menggunakan baka yang baik dan keadaan automasi bagi penorehan dan kaedah pengumpulan,” jelasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button