
Portal Bantuan Kewangan Program Perpaduan dilancar, perkukuh usaha perpaduan
KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melancarkan Portal Bantuan Kewangan Program Perpaduan (BKPP) yang bertujuan memperkasakan pelaksanaan program perpaduan di peringkat akar umbi.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.
Pelancaran itu merupakan sebahagian daripada usaha KPN untuk mengiktiraf peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai “Friends of Unity” dalam memperkukuh keharmonian masyarakat.
Aaron berkata, perpaduan bukan hanya tanggungjawab kerajaan tetapi memerlukan kerjasama semua pihak termasuk NGO dan sektor swasta.
“Mulai tahun ini, semua permohonan bantuan kewangan akan diuruskan sepenuhnya secara dalam talian menerusi portal tersebut,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, langkah itu adalah sebahagian daripada reformasi perkhidmatan awam bagi meningkatkan tatakelola, ketelusan dan keberkesanan.
“Portal itu membuktikan bagaimana teknologi boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan kecekapan.
“Dengan adanya portal itu proses permohonan dan kelulusan bantuan kepada NGO akan menjadi lebih cepat dan efisien,” katanya lagi.
Beliau berkata, pelaksanaan secara dalam talian ini diharap dapat mengurangkan kekangan yang dihadapi oleh NGO, sekaligus mempercepatkan pelaksanaan program perpaduan.
Pada tahun lalu, sebanyak 78 program perpaduan berjaya dilaksanakan di seluruh negara melibatkan 621,739 peserta.
Program itu disokong oleh pelbagai NGO seperti Pertubuhan IKRAM Malaysia, Persatuan Siam Malaysia dan Pertubuhan Kembara Anak Seni Selangor.
“Pencapaian ini membuktikan keberkesanan kerjasama strategik antara kerajaan dan NGO dalam memupuk keharmonian masyarakat.
Tahun ini, fokus akan diberikan kepada program bertemakan Harmoni Dalam Kepelbagaian dan pembinaan negara bangsa,” jelasnya.
Majlis turut menyaksikan sesi Townhall yang melibatkan lebih 500 wakil NGO dari seluruh negara.
Sesi ini memberi peluang kepada peserta untuk memahami fungsi portal dan kaedah permohonan bantuan kewangan.
Aaron menutup majlis dengan menyeru semua pihak untuk terus berganding bahu memperkukuh perpaduan.
“Dengan iltizam bersama, kita mampu membina sebuah negara bangsa yang harmoni dan bersatu padu,” ujarnya sebelum melancarkan portal tersebut sebagai simbol komitmen Kementerian dalam memupuk perpaduan nasional.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |