
Malaysia terus perkukuh hubungan dunia di Sidang Kemuncak WEF 2025
DAVOS – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan pemimpin dunia sempena Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Switzerland.
Pertemuan itu bertujuan memperkukuh hubungan diplomatik serta kerjasama strategik demi kepentingan bersama.
Antara pertemuan penting ialah dengan Perdana Menteri Libya, Abdul Hamid Dbeibeh yang menyaksikan kesepakatan untuk meningkatkan kerjasama dalam sektor ekonomi, pelaburan, dan perdagangan.
“Sewaktu sesi dengan Perdana Menteri Belanda, Dick Schoof @MinPres pula, kesepakatan dijabat tangan dalam meningkatkan hubungan pendidikan, ekonomi dan perdagangan di masa hadapan,” kata Anwar menerusi hantaran di laman X hari ini.
Perdana Menteri turut bertemu Presiden Somalia, Hassan Sheikh Mohamud, bagi bertukar pandangan tentang usaha memperkasa hubungan dua hala dan membincangkan isu semasa, termasuk gencatan senjata di Gaza.
Dalam pertemuan itu, Anwar turut menyampaikan jemputan kepada semua pemimpin peserta untuk melawat Malaysia yang kini memegang jawatan sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Sidang Kemuncak WEF 2025 menjadi platform utama untuk membincangkan cabaran global dan meneroka peluang kerjasama strategik antara negara-negara demi manfaat bersama.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |