
Lebih 2.6 juta kenderaan guna lebuh raya utama sempena cuti Tahun Baharu Cina
KUALA LUMPUR – Aliran trafik di lebuh raya utama dijangka melonjak sehingga 2.6 juta kenderaan bermula 25 Januari ini sempena cuti Tahun Baharu Cina dengan peningkatan ketara ke arah pantai timur, utara, dan selatan.
Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Sazali Harun berkata, pergerakan kenderaan keluar dari ibu kota akan bermula antara 24 hingga 28 Januari, manakala trafik dijangka kembali memuncak ke ibu kota pada 1 dan 2 Februari.
“Sebanyak 2.2 juta kenderaan akan melalui Lebuhraya Utara-Selatan, 198,000 di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, 82,000 di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), 48,000 di LPT2, dan 120,000 lagi menggunakan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE),” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, syarikat konsesi lebuh raya diarahkan tidak melaksanakan penutupan lorong kecuali bagi kes kecemasan sepanjang tempoh 24 Januari hingga 3 Februari.
Selain itu, 25 lokasi lorong pintar akan diaktifkan di Lebuhraya Utara-Selatan, manakala pengurusan trafik di plaza tol, persimpangan dan laluan tidal turut dipertingkatkan.
“Sebanyak 50 tandas jenis kabin yang lebih selesa juga disediakan di Lebuhraya Utara-Selatan bagi menampung keperluan pengguna sepanjang musim perayaan,” katanya.
Beliau menambah, pelaksanaan larangan pemanduan kenderaan barangan yang dikuatkuasa pada 27 hingga 28 Januari serta 1 hingga 2 Februari dijangka membantu melancarkan aliran trafik.
Sazali turut menggesa pengguna lebuh raya merancang perjalanan dengan menggunakan aplikasi MyPLUS-TTA untuk Lebuhraya Utara-Selatan atau Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi LPT1 dan Lebuhraya KL-Karak.
Sebarang bantuan boleh didapati dengan menghubungi Pusat Pengurusan Trafik (TMC), LLM di talian 1-800-88-7752 atau menerusi laman sesawang rasmi LLM di [www.llm.gov.my](https://www.llm.gov.my).
Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini melalui WhatsApp Channel LLM Info Trafik.
“Sama-sama kita berhemah di jalan raya bagi memastikan perjalanan musim perayaan ini selamat dan lancar,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |