
JKR diminta percepat kerja baik pulih laluan pejalan Kuil Sri Subramaniar menjelang Thaipusam
KUALA LUMPUR – Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil tindakan segera bagi membaik pulihkan laluan yang rosak di sekitar kawasan Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves, di sini.
Menurut Alexander, hasil tinjauan beliau mendapati, laluan pejalan kaki di sepanjang jalan memasuki kawasan beribadat tersebut memerlukan kerja penyenggaraan dan baik pulih segera.
“Petang tadi, saya telah turun sendiri meninjau kawasan sekitar Kuil Sri Subramaniar di Batu Caves untuk melihat sendiri keadaan laluan pejalan kaki di sepanjang jalan memasuki kawasan beribadat tersebut.
“Ini kerana saya telah menerima keluhan daripada pihak kuil berhubung dengan keadaan laluan pejalan kaki yang rosak dan tidak disenggara di sekitar kawasan masuk kuil tersebut.
“Daripada hasil tinjauan saya, memang benar laluan tersebut memerlukan kerja penyenggaraan dan baik pulih segera bagi memastikan keselamatan pejalan kaki yang menggunakan laluan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Alexander berkata, langkah segera perlu diambil sebelum perkara yang tidak diingini berlaku, lebih-lebih lagi perayaan Thaipusam akan tiba kurang sebulan lagi.
“Saya dimaklumkan oleh pihak kuil bahawa adalah dianggarkan seramai dua juta penganut dan pelancong dari dalam dan luar negara akan berhimpun bagi meraikan sambutan Thaipusam pada setiap tahun di kuil ini yang merupakan lokasi utama setiap kali sambutan diadakan.
“Justeru, saya telah mengarahkan semua pihak terlibat termasuk JKR untuk mengambil tindakan segera bagi membaik pulihkan laluan yang rosak termasuk kawasan di sekitarnya sebelum perayaan Thaipusam,” katanya.
Sementara itu, Alexander berkata, beliau juga sempat mengambil peluang untuk melihat sendiri persiapan yang sedang giat dijalankan bagi menyambut perayaan Thaipusam.
“Terima kasih kepada semua pihak yang bersama-sama dalam tinjauan mengejut ini,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |