Berita Semasa

Isu beras putih tempatan: KPKM jawab dakwaan Ahli Parlimen Bukit Gantang

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi maklum balas terhadap kenyataan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Syed Abdul Fasal, berhubung isu Beras Putih Tempatan (BPT) yang dilaporkan beberapa media pada 21 Januari lalu.

Menurut KPKM, setiap isu berkaitan padi dan beras perlu dirujuk kepada pihak berautoriti bagi memastikan maklumat yang diterima oleh rakyat adalah tepat dan tidak mengelirukan.

“KPKM sentiasa komited melaksanakan reformasi menyeluruh dalam industri padi dan beras untuk meningkatkan daya saing industri itu, memperkukuh kebajikan pesawah serta menjamin bekalan beras negara,” jelas kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

KPKM turut memaklumkan bahawa langkah-langkah untuk memastikan keberadaan BPT di pasaran sedang diperincikan dan akan diumumkan selepas mendapat persetujuan kerajaan.

Selasa lalu, Syed Abu Hussin yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang menyifatkan Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu sebagai gagal menjalankan tugas dalam menyelesaikan isu BPT yang berlarutan lebih dua tahun di negara ini.

Dakwanya lagi, Mohamad tidak bertanggungjawab untuk serius menangani isu keterjaminanan makanan itu untuk rakyat selain peranan Bahagian Kawal Selia Padi Dan Beras dilihat tidak berkesan dalam membantu menteri mencari penyelesaian dan hanya menjanjikan kajian demi kajian yang tidak ada kesudahan.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respon terhadap isu yang dibangkitkan dan KPKM menggesa semua pihak mendapatkan maklumat sahih daripada sumber rasmi untuk mengelakkan kekeliruan.

Sebarang maklumat lanjut boleh dirujuk di laman sesawang rasmi KPKM di www.kpkm.gov.my.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button