
Cubaan seludup masuk PATI di Pasir Puteh gagal, 14 ditahan
PASIR PUTEH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan berjaya menumpaskan cubaan menyeludup 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui Sungai Kuala Besar, di sini dalam operasi pada Isnin lalu.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, tangkapan dilakukan semasa rondaan Op Naga Barat, Op Damai dan Op Tiris di kawasan perairan Malaysia-Thailand.
“Bertindak atas maklumat risikan, sebuah bot fiber putih yang bergerak dalam keadaan mencurigakan berjaya dikesan.
“Ketika menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, bot tersebut cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan selepas 40 minit dikejar,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Erwan berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot itu membawa 14 PATI warganegara Myanmar, termasuk sembilan lelaki, empat wanita berusia 18 hingga 30 tahun serta seorang kanak-kanak berusia kira-kira dua tahun.
Katanya, daripada jumlah tersebut, lapan individu didapati memiliki dokumen pengenalan diri mencurigakan, manakala enam lagi langsung tidak memiliki dokumen sah.
“Terdapat juga tekong bot yang dipercayai melarikan diri ke kawasan semak berhampiran untuk mengelak ditahan.
“Bot bersama semua PATI diiring ke Jeti Maritim Negeri Kelantan untuk siasatan lanjut,” tambahnya.
Erwan berkata, kesemua PATI diserahkan kepada Pegawai Penyiasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 26(J) Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 atas kesalahan mengangkut migran yang diseludup, serta Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri sah.

Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |