Berita Semasa

Usahawan desa perlu berani berkembang, dahului pasaran – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA – Usahawan desa perlu berani berkembang dan mendahului pasaran bagi merebut peluang yang ada.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan akan sentiasa membantu dan menyokong para usahawan desa bagi memastikan mereka terus berkembang, meningkatkan daya saing dan mampu menembusi pasaran global.

“Belanjawan 2025 telah memperuntukkan RM45.6 bilion khusus untuk memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) termasuk akses pembiayaan, pendigitalan serta inovasi.

“Malah pada tahun sebelumnya, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM15.11 bilion bagi melaksanakan 270 program keusahawanan yang memberi manfaat kepada hampir 500,000 penerima.

“Namun, segala bentuk bantuan hanya akan bermakna jika disertai usaha gigih, daya tahan dan kesanggupan (para usahawan) untuk terus belajar dan beradaptasi dengan perubahan,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian dalam ucapannya ketika hadir merasmikan Majlis Anugerah Pemenang Rural Business Challenge (RBC) 2.0 2024 di sebuah hotel, di sini malam tadi.

Ahmad Zahid beramah mesra dengan beberapa penerima Hadiah Geran Perniagaan RBC 2.0, malam tadi. – MIM FADZLIZAL/PEJABAT TIMBALAN PERDANA MENTERI

Majlis ini dianjurkan sebagai pengiktirafan kepada 45 usahawan belia desa yang telah berjaya menjadi penerima Hadiah Geran Perniagaan dalam Pertandingan RBC 2.0 dengan geran keseluruhan berjumlah RM15 juta.

Para usahawan tersebut adalah daripada empat sektor perniagaan iaitu pembuatan, perkhidmatan, pertanian dan pelancongan desa.

Program RBC yang diperkenalkan sejak tahun 2012 melalui Government Transformation Programme (GTP) 2.0 di bawah Youth Entrepreneur Driven Model Desa Abad ke-21, merupakan program pertandingan rancangan perniagaan dalam kalangan usahawan belia di luar bandar yang berpotensi untuk mengembangkan lagi perniagaan sehingga menjadi usahawan yang berjaya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button