Berita SemasaBisnes & Ekonomi

TERAJU bawa pembaharuan ekonomi Bumiputera lebih inklusif

KUALA LUMPUR – Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) terus memperkukuhkan peranan sebagai penggerak utama dalam memperkasakan masyarakat Bumiputera menerusi pendekatan 3P, iaitu peningkatan, pengukuhan dan penskalaan.

Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Junady Nawawi, berkata, TERAJU menggalas tanggungjawab besar untuk memastikan masyarakat Bumiputera dapat menikmati peluang ekonomi yang lebih luas, inklusif dan saksama.

“Melalui pelbagai program strategik seperti Program Pemudahcaraan dan Program Pembiayaan, kami komited untuk meningkatkan daya saing masyarakat Bumiputera dan memberikan sokongan menyeluruh kepada para usahawan.

“Dengan pendekatan yang holistik, kami memastikan usaha kami mampu mencipta impak positif yang mampan kepada komuniti Bumiputera, sambil memperkukuhkan ekonomi negara secara inklusif dan menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Apresiasi Media bersama TERAJU di ibu negara malam tadi.

Majlis Malam Apresiasi Media bersama TERAJU. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Mengulas lanjut, Junady berkata, dengan fokus meningkatkan penglibatan ekonomi Bumiputera dalam sektor utama, ia dapat membuka peluang pekerjaan yang bukan sahaja memanfaatkan Bumiputera, malah juga masyarakat lain secara inklusif.

“Selain itu, usaha memperkasakan usahawan Bumiputera melalui sokongan pembiayaan, akses pasaran dan program latihan dapat meningkatkan keupayaan syarikat tempatan untuk berdaya saing di peringkat global.

“Langkah ini bukan sahaja membantu memperkukuhkan ekonomi Bumiputera, tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara yang lebih inklusif, memastikan manfaatnya dirasai oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.

Junady menambah, TERAJU sentiasa proaktif dalam merancang dan melancarkan inisiatif baharu yang relevan dengan keperluan semasa, seiring dengan perubahan landskap ekonomi dan cabaran global.

Tegas beliau, TERAJU komited untuk memastikan setiap program yang diperkenalkan mampu mencipta peluang ekonomi yang besar dan memberikan impak nyata kepada komuniti Bumiputera.

“Dengan pendekatan yang lebih fleksibel, inovatif dan strategik, TERAJU akan terus mempertingkatkan usaha memperkasa agenda pembangunan Bumiputera, sejajar dengan matlamat kami untuk mencipta masa depan yang lebih inklusif dan lestari.

“Visi kami adalah untuk melihat masyarakat Bumiputera bukan sahaja mampu berdiri di persada ekonomi nasional, tetapi juga bersinar di pentas global,” katanya.

Dalam pada itu, Junady turut menzahirkan penghargaan kepada pihak media yang menjadi pencetus semangat dan inspirasi kepada para usahawan untuk melangkah maju dalam mengejar aspirasi mereka.

“Sebagai rakan strategik media, sokongan anda amat diperlukan untuk merealisasikan visi TERAJU dalam memperkukuhkan ekosistem ekonomi Bumiputera.

“Liputan dan komunikasi yang anda sampaikan kepada masyarakat bukan sahaja membawa kisah kejayaan yang menginspirasi, tetapi juga menjadi platform penting untuk meningkatkan kesedaran terhadap peluang-peluang yang kami tawarkan,” ujarnya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button