Berita Semasa

Program Cashless Society catat 18,000 transaksi tanpa tunai

PUTRAJAYA – Program Cashless Society anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya mencatatkan 18,000 transaksi tanpa tunai dan mendaftar lebih 4,200 peniaga digital baharu menerusi dua fasa yang telah dilaksanakan di empat buah negeri.

Menurut MCMC, fasa satu dan dua program itu telah berjaya dilaksanakan di empat buah negeri, bermula di Melaka dan siri jelajah di 28 pusat NADI seluruh negara melalui kerjasama antara pihaknya dan PayNet.

Katanya, setakat ini, program tersebut juga telah mencapai kejayaan besar apabila berjaya menarik kehadiran lebih 44,000 pengunjung dan menjalankan hampir 550 aktiviti kesedaran.

“Susulan kejayaan ini, fasa dua diperluas ke Johor, Pahang dan Negeri Sembilan, melibatkan lebih 56 lokasi/touch points komuniti serta kerjasama dengan 12 rakan strategik, termasuk bank dan penyedia e-dompet.

“Cashless Society Scaling Up Programme fasa tiga akan diteruskan ke tiga negeri baharu iaitu Perak, Terengganu, dan Perlis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Sektor Pembangunan Industri MCMC melalui Bahagian Masyarakat dan Keterangkuman Masa Depan telah melancarkan Cashless Society Scaling Up Programme fasa tiga.

Program yang diperkenalkan dalam Sesi Perbincangan Meja Bulat di Putrajaya hari ini akan diperluaskan ke tiga buah negeri tahun ini.

Cashless Society Scaling Up Programme digerakkan di seluruh negara selama lima tahun.

Sementara itu menurut MCMC, fasa tiga akan bermula pada pertengahan bulan Februari dengan aktiviti dijadual di 27 pusat NADI di Perak, bermula di Kampung Raban sebelum diteruskan di Terengganu pada suku kedua dan di Perlis pada suku ketiga tahun 2025.

Katanya, fasa itu menyasarkan 56 lokasi/touch points, melibatkan kira-kira 25,000 pengunjung, memudahkan lebih 12,000 transaksi tanpa tunai dan mendaftar lebih 2,000 peniaga digital baharu.

“Selain kerajaan negeri dan FELDA, rakan strategik utama sedia ada yang turut serta dalam inisiatif ini termasuk agensi kerajaan dan institusi kewangan seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Touch ‘n Go Digital, Maybank, Bank Islam, Bank Simpanan Nasional (BSN), Setel (Petronas), Sakupay, TM UNIFI, dan bakal rakan strategik baharu seperti Boost Bank, GXBank, AEON Bank, AFFIN Bank, BerryPay dan Fiuu.

“Cashless Society Programme, dilancarkan pada tahun 2022, bertujuan untuk memperkasakan masyarakat luar bandar dan golongan kurang mendapat manfaat terutamanya warga emas, belia, orang kurang upaya (OKU), dan peniaga untuk menggunakan pembayaran dan transaksi digital (contoh: kod QR, kad kredit/debit),” katanya.

Katanya lagi, inisiatif itu mempercepat pembangunan ekonomi digital Malaysia untuk masa depan yang mampan dan selaras dengan sasaran Bank Negara Malaysia untuk mencapai 400 transaksi e-pembayaran per kapita menjelang 2026.

“Program ini memastikan penggunaan pembayaran tanpa tunai secara meluas dan mampan, terutamanya melalui penglibatan dasar dalam perlesenan perniagaan, di mana perniagaan atau perusahaan digalakkan untuk menggunakan pembayaran tanpa tunai.

“Program ini dilengkapi dengan kempen kesedaran yang berteraskan empat tunggak utama iaitu Literasi Kewangan dan Digital, Keselamatan Sekuriti, Peluang Pendapatan dan Pembangunan Kapasiti.

“Kempen kesedaran ini dilaksanakan melalui tiga modul iaitu Cashless @ NADI, Cashless Carnival, dan Cashless @ State dengan memanfaatkan pusat-pusat NADI untuk meningkatkan kebolehcapaian, kesalinghubungan, dan jangkauan proaktif,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button