
Polis tahan pasangan kekasih disyaki sembunyi, sebabkan kematian bayi
PORT DICKSON – Polis menahan sepasang kekasih berusia 18 tahun dan 21 tahun di dua lokasi berasingan di daerah ini, malam semalam selepas dipercayai menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian seorang bayi.
Menurut Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Hospital Port Dickson pada kira-kira pukul 11.30 pagi berkenaan maklumat seorang pesakit perempuan tempatan melahirkan anak tetapi bayi tersebut gagal dikesan.
Siasatan lanjut polis menemukan jasad bayi tersebut yang disembunyikan dalam sebuah beg di sebuah bilik di Taman Intan Perdana, Telok Kemang.
“Pemeriksaan lanjut ke atas bayi perempuan yang cukup sifat itu mendapati, bayi disahkan meninggal dunia dan terdapat kesan kecederaan pada bahagian dada disyaki kesan objek tajam.
“Sehubungan itu, tangkapan dibuat oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan bersama Bahagian Siasatan Jenayah IPD dari pukul 9.30 malam hingga 9.45 malam,” katanya, di sini hari ini.
Tambahnya, suspek wanita yang bekerja di sebuah restoran makanan segera manakala kekasihnya berstatus penganggur tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Turut dirampas dalam tangkapan adalah uri, pakaian, senjata berupa pisau serta telefon bimbit bagi siasatan lanjut.
“Berdasarkan siasatan awal, motif kejadian adalah disebabkan rasa bimbang dan takut dengan keluarga. Kedua-dua suspek ini akan dibawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson pagi ini untuk proses permohonan reman,” katanya lagi sambil menambah, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |