Berita Semasa

Kes Datin Vivy Yusof: Peguam persoal tindakan kongsi idea apps sedekah

KUALA LUMPUR – Kes membabitkan usahawan terkenal Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar kini menjadi perhatian ramai.

Peguam terkenal, Mahmud Jumaat dalam satu hantaran di Facebook turut memperkatakan tentang pasangan tersebut.

“Tambah lagi kes salah guna dana! Fokus kepada kes daripada buat apps sedekah untuk orang ramai!” demikian tajuk yang dinukilkan Mahmud di Facebooknya tengah hari tadi.

Hantaran Mahmud di Facebook beliau yang memperkatakan tentang kes salah guna dana Vivy dan suaminya.

Menurut Mahmud pasangan itu didakwa menyalahgunakan dana pelaburan daripada Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebanyak RM8 juta menerusi syarikat mereka, FashionValet pada tahun 2018.

Jika sabit kesalahan, mereka bakal berdepan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, denda dan juga kemungkinan hukuman sebatan.

“Apa yang menarik perhatian ramai, Vivy bukan nama kecil dalam dunia bisnes dan fesyen Malaysia. Dia ikon wanita berjaya, influencer terkenal dan pernah menjadi ahli lembaga pengarah Universiti Teknologi MARA (UiTM).

“Ramainya yang kagum dengan kejayaan dia, malah aku pun salute la, tapi dengan kes ini, ramai juga yang terkejut dan tertanya-tanya – betul ke semua ini atau ada cerita di sebaliknya?” tulis Mahmud.

Beliau kemudian turut mempersoalkan tindakan Vivy untuk mewujudkan apps sedekah ketika kes sedang berlangsung.

“Lagi satu di Twitter (X) sekarang tengah hangat orang bincang pasal idea Vivy nak buat apps sedekah yang dia post di IG Story baru-baru ini.

“Dengan kes yang tengah berjalan, ramai yang skeptikal dan risau bila duit orang ramai pula bakal terlibat lagi,” tegasnya.

Justeru, Mahmud menekankan agar Vivy menjauhkan diri daripada projek tersebut.

“Jujur aku cakap, Vivy should stay away from doing another startup, lagi-lagi yang melibatkan duit orang ramai.

“Bila dah ada isu macam ini, kepercayaan orang pun dah terjejas. Nak buat bisnes tak salah, tapi mungkin bagi aku Vivy kena fokus pada memperbaiki reputasi dulu sebelum terlibat dalam projek yang berkaitan dengan dana awam.

“Kepercayaan dalam bisnes ini bukan benda mudah nak bina balik bila dah tercalar,” katanya.

Bagaimanapun, Mahmud memberitahu agar orang ramai menunggu saja proses perbicaraan di mahkamah kelak.

“Harap kes ini dapat diselesaikan dengan adil dan telus. Kalau betul bersalah, kena bertanggungjawab. Kalau tak, mereka juga berhak untuk bersihkan nama baik mereka,” ujarnya.

Untuk rekod, pagi tadi, Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusuf, 37, dan suaminya, Fadzarudin, 36, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang didakwa di mahkamah.

Kedua-dua mereka dibenarkan diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur pada minggu pertama setiap bulan.

Hantaran Mahmud di Facebook beliau yang memperkatakan tentang kes salah guna dana Vivy dan suaminya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button