
Empat entiti perniagaan jalin kerjasama strategik bantu PKS tempatan perluas pasaran antarabangsa
KUALA LUMPUR – Permodalan Kedah Bhd (PKB) menjalin kerjasama strategik dengan beberapa badan perniagaan untuk membantu perniagaan tempatan berkembang ke pasaran baharu dan mengukuhkan landskap ekonomi Malaysia.
Kerjasama tersebut melibatkan PKB, Akmal Shamsul Kahar & Co. (ASKCO), Corporate Mind Group dan Pesuruhjaya Jakarta Business School, Tan Sri Dr Nordin Kardi.
Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Mohd Azad Jasmi, berkata, kerjasama itu dirancang untuk mempercepatkan pembangunan ekonomi Malaysia, mengukuhkan rangka kerja perundangan dan mewujudkan perkongsian yang memberi kesan jangka panjang.
Beliau berkata, PKB komited untuk menyokong perniagaan tempatan dengan menarik pelaburan langsung asing (FDI), menawarkan perkhidmatan penasihat mengenai hal ehwal hartanah serta membantu mereka meneroka peluang pasaran antarabangsa.
“Selain itu, ASKCO, dengan kerjasama Corporate Mind Group, akan bekerjasama rapat dengan PKB untuk memacu pembangunan keusahawanan dan strategi pemulihan perniagaan.
“Ini termasuk melaksanakan mekanisme modal untuk merangsang pertumbuhan lestari dan memastikan hasil yang memberi impak,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama strategik di sini baru-baru ini.

Sementara itu, rakan kongsi pengurusan ASKCO, Muhamad Akmal Arif Shamsul Kahar menyatakan kerjasama ini mensasarkan matlamat jangka panjang untuk menyenaraikan lima PKS di Bursa Malaysia menjelang tahun depan.
Muhamad Akmal berkata, kerjasama ini bertujuan untuk melibatkan 700 usahawan PKS menjelang penghujung tahun ini dalam 17 program sokongan yang akan diperkenalkan tidak lama lagi.
“Pada masa ini, banyak PKS kekurangan perancangan perniagaan jangka panjang. Kemajuan mereka seolah-olah terhenti pada tahap menjana jualan. Oleh itu, kami ingin membuka potensi PKS dalam sektor teknologi, runcit pertanian, perkhidmatan, dan syarikat permulaan.
“Kerjasama ini menyasarkan lima syarikat untuk melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) pada tahun depan. Matlamat jangka pendek adalah untuk menyokong 500 PKS menjelang suku ketiga tahun ini,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |