Berita Semasa

STR Fasa 1 dikreditkan ke akaun bank penerima mulai esok

PUTRAJAYA – Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 akan mula disalurkan esok melalui pengkreditan dalam akaun bank.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini berkata, bantuan ini akan memanfaatkan hampir 9 juta penerima.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut berkata, peruntukan STR Fasa 1 yang jauh melangkau kadar inflasi negara mencerminkan tekad kerajaan dalam memastikan kebajikan sebilangan besar rakyat bertambah baik walaupun berlaku peningkatan kos sara hidup.

“Kerajaan telah melonjakkan kadar maksimum isi rumah kepada RM4,600 tahun ini dengan kenaikan hampir 25 peratus berbanding RM3,700 tahun lalu.

“Kadar minimum golongan bujang juga meningkat kepada RM600 daripada RM500 tahun lalu dengan kenaikan sebanyak 20 peratus,” katanya dalam kenyataan tersebut, hari ini.

Tambah Anwar, peningkatan sumbangan STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) diharap dapat membantu rakyat menggapai kehidupan lebih berdarjat walaupun berlaku kenaikan kos sara hidup yang melanda seluruh dunia.

“Permohonan baharu dan kemas kini STR dibuka sepanjang tahun.

“Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan di portal rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my, bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button