
SPNB, JHEV meterai MoU bina 63 unit rumah untuk veteran ATM
KUALA LUMPUR – Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) telah memeterai persefahaman (MoU) untuk membina 63 unit rumah bagi veteran ATM melalui program Rumah Mesra Rakyat (RMR).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Ar Mohd Jamil Idris, dalam tempoh empat tahun, sebanyak 143 unit rumah telah dibina hasil kerjasama dengan JHEV ATM yang dijalankan sebanyak empat kali.
“MOU tersebut merangkumi projek pada tahun ini melibatkan 63 unit rumah dengan peruntukan subsidi oleh SPNB berjumlah RM1.3 juta, manakala JHEV ATM memperuntukkan RM3.5 juta bagi kos pembinaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Hi-Tea JHEV yang disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Kahled Nordin di ibu negara, semalam.
Mengulas lanjut, Mohd Jamil berkata, sebanyak RM20,000 subsidi diperuntukkan oleh kerajaan bagi setiap unit rumah yang berkeluasan 750 kaki persegi.
“Lokasi bagi rumah program RMR ini meliputi seluruh Malaysia,” katanya sambil menambah syarat pemohon program RMR mestilah dalam kalangan veteran ATM daripada golongan B40 yang akan ditapis oleh JHEV ATM.
Dalam pada itu, beliau turut berharap usaha yang dilakukan bagi menghargai jasa veteran ATM negara dengan membina rumah untuk mereka berteduh dapat diteruskan pada masa akan datang.
“Saya juga mengharapkan akan ada agensi-agensi kerajaan yang lain untuk berkolaborasi dengan SPNB,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |