RencanaGaya Hidup

Snowlim Wonderland: Inspirasi festival ais Harbin

SAAT kaki melangkah masuk ke ruang bangunan seluas 22,000 kaki persegi yang dipenuhi salji, automatik badan mula menggigil.

Udara dingin begitu mencengkam hingga ke tulang hitam. Dengan pantas, saya menyarung sarung tangan tebal di tangan. Namun, kesejukannya tetap terasa.

Pengunjung akan diberikan baju sejuk di kaunter masuk Snowlim Wonderland.

Sambil itu jari-jemari mula menekan-nekan skrin di telefon untuk merakam gambar kenangan. Teruja melihat butiran salji memutih yang memenuhi lantai dan ranting-ranting pokok, seolah-olah berada di dunia lain.

Anak-anak kecil juga kelihatan teruja dan seronok bermain sambil diawasi ibu bapa.

Terletak di Seremban 2, Negeri Sembilan, Snowlim Wonderland merupakan salah satu destinasi tarikan terbaru yang menjadi bualan ramai terutama di platform media sosial seperti Tik Tok, Instagram dan Facebook.

Salah satu permainan menarik yang boleh dicuba oleh pengunjung di taman salji ini.

Mula beroperasi pada September tahun lalu, tarikan ini menawarkan pengalaman bermain salji yang menyeronokkan untuk seisi keluarga.

Pengurus Pengiklanan dan Promosi Snowlim Wonderland, Max Lim berkata, antara keistimewaan tempat itu adalah salji yang dihasilkan menggunakan teknologi khas yang direka oleh pasukan jurutera mereka sendiri.

Max Lim

“Salji yang terhasil bersifat original melalui kombinasi air, suhu sejuk dan angin hasil daripada teknologi khas yang digunakan.

“Dengan suhu yang dijaga pada -15°C untuk memberikan suasana sejuk yang realistik, semua tema di dalam ruang taman ais ini diinspirasikan oleh Harbin Ice & Snow World di China.

Ukiran kuda ais oleh pasukan yang didatangkan khas dari wilayah Harbin di China menjadi tarikan buat pengunjung cilik.

“Malah, ukiran ais kami juga dibuat oleh pasukan yang didatangkan dari wilayah tersebut,” jelas Max kepada Malaysia Tribune.

Selain menikmati kawasan dan permainan bersalji, pengunjung juga boleh menikmati hidangan dalam suasana dingin di Snow Cafe yang terletak bersebelahan pintu masuk Snowlim Wonderland.

Sama ada menikmati minuman kopi panas, hidangan ramen atau pencuci mulut, pilihan terletak pada selera pengunjung sendiri.

Di Snow Cafe, pengunjung boleh duduk menikmati hidangan dalam suasana salji sebenar.

Boleh menampung kapasiti seramai 250 orang dalam satu-satu masa, Snowlim Wonderland sesuai untuk pelbagai jenis kunjungan termasuk lawatan sekolah dan agensi pelancongan yang mempunyai pakej bayaran lebih rendah.

Cabaran dan sokongan

Sementara itu, Max turut mengakui bahawa kos penyelenggaraan dan penggunaan elektrik adalah antara cabaran terbesar yang dihadapi dalam operasi Snowlim Wonderland.

Gelongsor ais antara aktiviti yang wajib dicuba apabila berkunjung ke sini.

“Disebabkan tempat ini beroperasi setiap hari, maka penggunaan elektrik memang memakan kos yang besar.

“Namun, kami berterima kasih dengan bantuan promosi daripada Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang menyebabkan Snowlim Wonderland sentiasa dikunjungi ramai pihak,” ujar Max.

Tambah beliau, lokasi itu dipilih kerana kedudukannya yang strategik, berdekatan lebuh raya dan mempunyai tempat letak kereta yang luas.

Para pengunjung boleh mengabadikan momen bermakna seolah-olah percutian ke luar negara bersama keluarga.

“Kami mensasarkan pengunjung dari Singapura, Johor Bahru, Melaka dan kawasan sekitar untuk singgah ke sini sebelum ke ibu kota Kuala Lumpur,” jelasnya.

Penulis yang membuat liputan bersama rakan-rakan di Malaysia Tribune berkesempatan menemubual para pengunjung yang hadir.

Kesemua mereka memberikan maklum balas positif terhadap pengalaman yang dirasai di Snowlim Wonderland.

Siti Aminah teruja hadir kali pertama ke taman salji ini bersama suami, anak dan cucunya.

Siti Aminah Sakiman, 64, dari Seremban yang pertama kali menjejakkan kaki ke sini bersama keluarganya nyata berpuas hati.

“Tak sangka memang sejuk sungguh di dalam kawasan ini. Saya datang bersama suami, anak lelaki dan cucu-cucu. Tempat ini sangat menarik dan memberi pengalaman istimewa buat kami semua,” katanya.

Bagi Amri Amran, 35, dari Bukit Duyung, Melaka, pula memberitahu, dia mengetahui tentang Snowlim Wonderland melalui TikTok.

Amri dan keluarganya datang dari Duyung, Melaka apabila mengetahui keistimewaan Snowlim Wonderland melalui TikTok.

“Memang best! Suasana seolah-olah berada di tempat bersalji sebenar. Harganya juga berbaloi,” katanya.

Sementara itu, kakitangan Snowlim Wonderland juga komited dalam memberikan layanan terbaik kepada pengunjung.

Solaman, 28, salah seorang petugas di kaunter keluar berkata: “Kami akan pastikan setiap pelanggan dihormati.

Solaman sentiasa memberikan layanan terbaik buat pengunjung.

Yang penting, senyuman sentiasa di bibir. Melihat wajah mereka apabila keluar dari ruang bersalji, kami rasa puas apabila mereka memuji keseronokan berada di dalamnya.”

Taman ini dibuka setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 8 malam dan sehingga pukul 10 malam pada hujung minggu dan cuti umum.

Dengan anggaran kehadiran 70,000 pengunjung setakat ini, Snowlim Wonderland terus menjadi pilihan utama untuk rekreasi unik di Negeri Sembilan.

Sejak mula dibuka pada September 2024, Snowlim Wonderland berjaya menarik kehadiran lebih 70,000 pengunjung.

Bagi anda yang ingin memberikan pengalaman bermain salji kepada keluarga, Snowlim Wonderland adalah destinasi yang tidak boleh dilepaskan.

Untuk maklumat lanjut, layari laman sosial @SnowlimWonderland di TikTok atau hubungi talian 010-381 9139. Harga tiket bagi dewasa RM67, manakala kanak-kanak RM50.

Dekorasi hiasan di dalam taman salji ini juga akan direka mengikut tema musim perayaan tertentu.

SNOWLIM WONDERLAND
Lot PT 3962 & 3963,
Jalan Haruan 2,
Pusat Komersial Oakland,
70300 Seremban, Negeri Sembilan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button