
LIMA – Satu penemuan fosil luar biasa mencuri perhatian dunia apabila saintis menemukan rangka lengkap spesies jerung purba, Cosmopolitodus hastalis, di kawasan padang pasir pesisir pantai, kira-kira 235 kilometer di selatan ibu kota, Peru.
Fosil itu memberikan gambaran lebih jelas tentang ekosistem marin purba dan evolusi spesies jerung yang pernah wujud kira-kira tujuh juta tahun lalu.
Jerung Cosmopolitodus hastalis, juga dikenali sebagai “White Shark Purba,” merupakan nenek moyang kepada jerung putih (Carcharodon carcharias) yang ada ketika inni.
Ia terkenal dengan gigi yang besar, berbentuk segi tiga, tanpa gerigi, yang menunjukkan ia adalah pemangsa utama di laut purba.

Menurut Ketua Penyelidikan, Dr. Julio Salas dari Universiti Nasional San Marcos, fosil ini ditemui oleh pasukan paleontologi semasa menjalankan kajian di kawasan yang dahulunya adalah dasar laut.
“Penemuan ini bukan sahaja membantu kami memahami bagaimana jerung ini hidup tetapi juga bagaimana perubahan persekitaran memberi kesan kepada evolusi haiwan laut besar,” katanya.
Kajian awal mendapati bahawa Cosmopolitodus hastalis boleh mencapai panjang sehingga 12 meter, hampir menyamai jerung putih moden terbesar.
Fosil ini dijangka mengandungi maklumat tentang diet, habitat dan cara hidupnya melalui analisis isotop pada gigi dan tulangnya.
Penemuan ini turut mengundang perhatian antarabangsa, dengan ramai pakar paleontologi menyifatkannya sebagai “harta karun” yang akan memperkayakan pengetahuan tentang biologi marin zaman purba.
Muzium Sejarah Semula Jadi Peru kini sedang berusaha untuk memulihara fosil tersebut sebelum ia dipamerkan kepada orang ramai.
Penemuan ini sekali lagi mengukuhkan reputasi Peru sebagai lokasi penting untuk kajian paleontologi marin.

Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |