
Trump janji hidupkan semula TikTok, mahu 50 peratus pemilikan pelabur AS
WASHINGTON — Presiden dipilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menyatakan beliau akan menghidupkan semula akses TikTok di AS melalui perintah eksekutif selepas mengangkat sumpah.
Walau bagaimanapun, Trump berkata, beliau mahu media sosial popular itu dimiliki oleh sekurang-kurangnya 50 peratus pelabur AS.
TikTok berhenti berfungsi untuk 170 juta pengguna Amerika kelmarin, sebelum undang-undang yang menutupnya atas alasan keselamatan negara berkuat kuasa semalam.
Terdahulu, pegawai AS telah memberi amaran bahawa di bawah syarikat induk China, ByteDance, terdapat risiko data rakyat Amerika disalahgunakan.
“Saya memanjangkan tempoh masa sebelum larangan undang-undang berkuat kuasa, supaya kami boleh membuat perjanjian untuk melindungi keselamatan negara kami.
“Saya mahu Amerika Syarikat mempunyai pegangan 50 peratus dalam usaha sama. Dengan cara ini, kami menyelamatkan TikTok, memastikan ia berada di tangan yang baik dan membolehkan ia terus beroperasi,” kata Trump.
Trump berkata, perintah eksekutif itu akan menjelaskan bahawa tiada liabiliti akan dikenakan terhadap mana-mana syarikat yang membantu memastikan TikTok tidak terhenti sebelum perintahnya berkuat kuasa.
Trump sebelum ini dilaporkan berkata, beliau mungkin akan memberi TikTok penangguhan selama 90 hari dari larangan selepas beliau mengambil alih jawatan, satu janji yang dimaklumkan TikTok melalui aplikasi tersebut kepada pengguna.
“Kami bernasib baik kerana Presiden Trump telah menunjukkan bahawa beliau akan bekerjasama dengan kami untuk mencari penyelesaian bagi mengembalikan TikTok setelah beliau mengambil alih jawatan. Sila nantikan,” kata mesej tersebut.
Walaupun sementara, penutupan TikTok yang tidak pernah berlaku sebelum ini dijangka akan memberi impak yang meluas terhadap hubungan AS-China, politik AS, pasaran media sosial dan berjuta-juta rakyat Amerika yang bergantung pada aplikasi itu dari segi ekonomi dan budaya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |