
Najib nafi pengaruh keputusan lembaga pengarah 1MDB
PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menafikan dakwaan pihak pendakwaan bahawa beliau telah mempengaruhi bekas Pengerusi 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Tan Sri Mohd Bakke Salleh untuk memeterai usaha sama dengan PetroSaudi International (PSI) melalui satu panggilan telefon pada 2009.
Najib berkata, beliau hanya memberikan pandangan strategik dan tidak memaksa Mohd Bakke membuat keputusan dalam mesyuarat lembaga pengarah yang berlangsung pada 29 September tahun sama.
“Saya tidak mempengaruhi beliau. Saya hanya memberikan pandangan dari sudut strategik. Jika kita rujuk minit mesyuarat, tidak ada merujuk kepada perbualan telefon itu,” katanya memetik laporan NST hari ini.
Najib berkata ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram RM2.27 bilion dana 1MDB di Mahkamah Tinggi, hari ini.
Najib turut berkata, panggilan telefon tersebut tidak mempengaruhi keputusan yang dibuat oleh lembaga pengarah 1MDB, termasuk Mohd Bakke sebagai pengerusi mesyuarat tersebut.
“Panggilan telefon itu tidak memberi kesan kepada keputusan lembaga kerana ahli lain tidak mengetahui mengenainya,” katanya lagi.
Ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, Najib menafikan bahawa beliau mengarahkan Mohd Bakke untuk memastikan lembaga pengarah bersetuju dengan usaha sama tersebut, yang didakwa sebagai projek penting antara kerajaan.
Najib juga tidak bersetuju dengan dakwaan bahawa beliau tahu mengenai penggunaan sebahagian daripada RM4.3 bilion hasil terbitan bon Islam oleh 1MDB.
Dalam sesi soal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Mustaffa P. Kunyalam, Najib turut menafikan dakwaan bahawa penerbitan bon bernilai AS$3 bilion oleh 1MDB bersama International Petroleum Investment Company dan Aabar Investments adalah untuk mendapatkan dana politik bagi UMNO.
“Saya tidak bersetuju,” jawab Najib apabila pendakwaan mencadangkan dana tersebut digunakan untuk kepentingan politik sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.
Najib kini menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.27 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah akan bersambung.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |