Berita Semasa

Menteri Pertahanan terima kunjungan hormat rakan sejawatan dari Indonesia

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini menerima kunjungan rakan sejawatnya dari Indonesia, Sjafrie Sjamsoeddin dan delegasi di Wisma Pertahanan.

Menurut Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan, kunjungan hormat ini merupakan bukti komitmen yang tidak berbelah bahagi antara kedua-dua negara bagi memupuk kerjasama kukuh demi keamanan dan kestabilan serantau.

“Dalam pertemuan itu kedua-dua menteri bertukar pandangan dan perspektif pertahanan serta keselamatan serantau.

“Selain itu, turut dibincangkan mengenai peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN 2025 dan Jawatankuasa Sempadan Am Malaysia-Indonesia Ke-44 (GBC MALINDO Ke-44) yang dijadualkan berlangsung di Malaysia pada tahun ini bagi menangani cabaran keselamatan serantau secara kolektif,” kata kenyataan itu.

Dalam majlis tersebut, sesi dimulakan dengan Pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama (KKU) daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) 1 RRD , berkekuatan tiga pegawai dan 109 anggota yang diketuai Mejar Muhammad Akmal Hakim Sabarudin.

Sementara itu, Mohamed Khalid turut menjemput Indonesia untuk menyertai Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA 25).

Beliau kemudiannya turut mengucapkan tahniah kepada Sjafrie Sjamsoeddin atas pelantikannya sebagai Menteri Pertahanan Indonesia dan menyatakan keyakinan terhadap kemakmuran berterusan Indonesia di bawah kepimpinan Presiden Prabowo Subianto.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button